16 penuntut FPTV bantu selenggara sistem penyaman udara masjid dan surau

BATU PAHAT- Seramai 16 sukarelawan dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai Program Khidmat Masyarakat FPTV bersama penduduk Kampung Sungai Kajang sempena berlangsungnya Program Mesra Rakyat Bagan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi pada 1 April lalu.

Program yang disertai penuntut Sarjana Muda Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara serta Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara) itu memfokuskan aktiviti menyelenggara sistem penyaman udara yang dipasang di masjid dan surau Kampung Sungai Kajang, Batu Pahat.

Turut serta dalam program tersebut, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FPTV, Prof. Madya Ts. Dr. Azman Hasan; Ketua Jabatan Pendidikan Vokasional, Ts. Dr. Faizal Amin Nur Yunus; Ketua Jabatan Pengajian Teknologi, Ts. Dr. Mohd Bekri Rahim dan Ketua Program, Dr. Khairul Anuar Abdulrahman.

Dr. Mohd Bekri berkata selain memberi perkhidmatan tersebut, mereka juga turut memberi penerangan, bimbingan dan mempraktikkan secara ‘live’ kepada ahli jawatankuasa surau berkenan berkaitan kaedah menyelenggara sistem penyaman udara.

“Kita mula lakukan penyelenggaraan seawal pukul 8.30 pagi, dimulai dengan taklimat program oleh Ketua Kampung Sungai Kajang dan seterusnya peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalankan tugas masing-masing.

“Hasil maklum balas yang diterima, sesi perkongsian kepakaran yang diberikan oleh penuntut FPTV sangat bermanfaat kepada ahli jawatankuasa masjid selari dengan peranan UTHM sebagai universiti untuk masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr. Azman pula turut merakamkan ucapan terima kasih kepada  kumpulan pensyarah FPTV dari bidang Penyejukbekuan dan Penyaman Udara kerana bermurah hati menyumbangkan satu unit penyaman udara untuk dipasang di surau kampung berkenaan.

 

 

Categories
Pendidikan Teknikal VokasionalSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe