Oleh Dr. Nor Amani Filzah Mohd Kamil

PASIR GUDANG, 26 Mac 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan sambutan Hari Air Sedunia 2022 bertempat di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun bertujuan memperbaharui tekad dan azam serta memberi fokus kepada kepentingan sumber air selain usaha mempelopori pembangunan sumber air secara mapan.

Sempena sambutan tersebut, UTHM mengambil inisiatif mengadakan aktiviti ‘perpindahan ilmu’ bagi mengkaji kualiti air di Sungai Kim Kim sekali gus mengadakan aktiviti gotong royong mengutip sampah sambil beriadah yang dinamakan sebagai Kudah. Melalui aktiviti ini, para peserta berjaya mengumpul 51 kilogram sampah yang ada di sungai berkenaan.

Manakala bagi aktiviti mengkaji kualiti air sungai, penunjuk bio dan kimia telah digunakan lanjutan daripada program “Conserve the Nature, Love the River” yang mensasarkan kelestarian Sungai Kim Kim.

Untuk rekod, program “Conserve the Nature, Love the River” adalah merupakan salah satu program University for Society (U4S) Zon Selatan. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan Ketua Program U4S Zon Selatan bersama-sama dengan ahli lain iaitu Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pelaksanaan U4S adalah berdasarkan “Redesign University Higher Education: University, Industry and Community Engagement” dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PT) 2015-2025 yang mana “Quadraple Helix Engagement Model” menjadi paksi utama kepada konsep U4S. Model ini akan menjamin kelestarian hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti.

Sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Sungai Kim Kim ini turut dihadiri Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Pegawai-pegawai JAS, guru-guru sekolah sekitar Pasir Gudang, pensyarah dan pelajar UTHM serta wakil industri.

Sementara itu, aktiviti mengkaji kualiti air dijalankan di hulu Sungai Selangkah iaitu anak Sungai Kim Kim yang dahulunya dikenali sebagai sungai mati oleh penduduk Pasir Gudang.

Aktiviti pembelajaran yang dijalankan bersama 26 guru dari 26 sekolah di daerah Pasir Gudang ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada mereka berkaitan kaedah Purata Skor Taxon (ASPT).

Kaedah ini digunakan bagi mengetahui sama ada air sungai itu selamat atau sebaliknya melalui hidupan makroinvertebrata yang ada di dalamnya.

Setelah analisis ASPT dijalankan oleh para peserta, hulu sungai tersebut dikategorikan sebagai sungai yang berstatus sederhana bersih, sekali gus mematikan anggapan awal bahawa sungai berkenaan kotor.

Sebelum aktiviti ini dijalankan, peserta juga beranggapan tiada hidupan makroinvetebrata yang hidup di dalam sungai mati berkenaan namun tanggapan tersebut salah apabila mereka menemukan beberapa jenis hidupan makroinvetebrata.

Analisis ASPT turut dibandingkan dengan pentunjuk kimia melalui analisis pH, oksigen terlarut, suhu, kekeruhan, nitrate dan phosphate. Analisis kimia juga memberi hasil yang sama bahawa hulu sungai tersebut dikategorikan sebagai sederhana bersih.

Aktiviti penganggaran kualiti air sungai ini telah menarik minat para guru untuk menjalankan aktiviti yang sama bersama pelajar sekolah.

Hal ini dapat dilihat melalui maklum balas peserta dalam kalangan guru, yang mana 92 peratus berminat untuk mengadakan aktiviti seumpama ini bersama pelajar di sekolahnya.

Manakala 35 peratus guru yang hadir juga yakin untuk memindahkan ilmu kepada guru-guru di sekolah lain pula selepas ini.

Malah, mereka juga mencadangkan agar aktiviti hands-on yang dijalankan dapat dimasukkan dalam sukatan pembelajaran bagi subjek Sains menengah rendah.

UTHM berharap segala ilmu yang telah dikongsikan oleh pensyarahnya melalui program ini dapat memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang dalam usaha melestarikan alam sekitar.

 

*Aktiviti persampelan makroinvetebrata untuk penganggaran kualiti air

 

*Aktiviti pengkelasan makroinvetebrata dan analisis kualiti air