BATU PAHAT, 14 Apr 2022 – Persatuan Penyelidikan Kualitatif Malaysia (QRAM) yang ditubuhkan pada tahun 2002 melalui Mesyuarat Agung Kali ke-13 pada Mac 2022, telah melantik Dr. Nur Sofurah Hj Mohd Faiz sebagai Setiausaha Jawatankuasa Induk 2022-2024 yang baharu.

Pelantikan berkenaan sebagai pengiktirafan kepada Dr. Sofurah yang merupakan ahli QRAM sejak 2019, selain pengiktirafan sebagai Jurulatih Kualitatif Bertauliah Malaysia pada tahun 2021 oleh QRAM.

Dr. Nur sebelum ini bergiat aktif dalam beberapa program anjuran QRAM antaranya menjadi tuan rumah sewaktu QRAM melakukan jerawaraya di UTHM dan menjadi salah seorang panel sewaktu jerawaraya QRAM di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Saya berharap dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan setiausaha ini dapat meningkatan lagi prestasi dan jalinan kerjasama yang wujud selama ini,” katanya.

Dalam metodologi kualitatif di UTHM, Dr. Nur merupakan pengasas kepada Siri Kolokium Penyelidikan Kualitatif (QRCS) yang dilaksanakan setiap tahun sejak tahun 2019.

Beliau juga pengasas kepada siri ‘ASK Dr. NUR,’ iaitu satu sesi yang melibatkan pertemuan secara tertutup setiap bulan sejak Januari 2021 bagi membantu peserta menghuraikan permasalahan dalam pengajian penyelidikan kualitatif.

Kedua-dua program ini mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan pelajar ijazah doktor falsafah seluruh negara.

Bagi menghargai dan menyokong usaha Dr. Nur, UTHM melalui Pusat Penyelidikan Sustainable Professional Education for Excellent Development (SPEED), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah mengambil peranan meneruskan kolokium QRCS dengan menggabungkan kolokium kualitatif bersama kuantitatif yang akan dilaksanakan pada bulan Mei 2022.

Ketua Pusat Penyelidikan SPEED, Prof. Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad berkata penganjuran QRCS pada tahun 2022 diberi nafas baharu dengan menggabungkan kolokium Kualitatif yang telah menjadi aktiviti tahunan dengan kuantitatif yang diberi nama Q2RCS.

Tambah beliau program ini bakal mengumpulkan para penyelidik dan pakar dalam dua paradigma penyelidikan sains sosial kualitatif dan juga kuantitatif.

Program ini masih boleh dihadiri melalui pendaftaran di laman web dan media sosial CoR- Sustainable Professional Education for Excellent Development (SPEED).”