KUALA LUMPUR, 22 Mac 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  berjaya meraih anugerah ‘Diamond Recognition Kategori Zon’ setelah menyertai Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC 2030C) anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Centre di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Manakala Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) pula berjaya meraih anugerah ‘Diamond Recognition Kategori Rakan Kongsi.’

Pengiktirafan LCC 2030C ini adalah berdasarkan lima elemen utama iaitu tenaga, sisa, air, pengangkutan dan landskap serta berpandukan kriteria Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework (LCCF).

Pengarah Pejabat Kampus Lestari (SCO), Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir berkata SCO bertanggungjawab dalam menguruskan penyertaan LCC 2030C bagi kategori Zon di peringkat UTHM dan Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah mengetuai kategori Rakan Kongsi mewakili FPTP

Menurut beliau, pihak SCO telah menjalankan proses pengumpulan data dari semua pihak yang terlibat bermula pada Mac 2021 lagi.

“Dokumen lengkap telah diserahkan kepada pihak MGTC pada 28 Oktober 2021 lalu,” katanya.

Manakala sesi audit pelaporan karbon bagi Kategori Zon UTHM pula telah diadakan pada 19 Januari 2022.

FPTP turut diaudit pada sesi tersebut bagi kategori Rakan Kongsi dan pada hari yang sama juga pihak audit mengadakan lawatan tapak sekitar UTHM.

Hasil daripada sesi audit tersebut, UTHM dan FPTP berjaya menggondol dua anugerah tersebut walaupun ini merupakan penyertaan kali pertama bagi UTHM dan kali kedua bagi FPTP.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man hadir menyempurnakan majlis berkenaan sekali gus menyampaikan anugerah kepada pihak yang berjaya.

“Terima kasih diucapkan kepada Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP), Jawatankuasa Sustainable Champion Team (SCT), Jawatankuasa Sustainable Energy Champion Team (SECT), Penyelaras Data Hijau PTj dan semua pihak yang terlibat dalam proses pengumpulan data hijau dan penyediaan laporan bagi penganugerahan tersebut.

“Kejayaan ini sekali gus membuktikan sokongan dan komitmen warga UTHM terhadap pelbagai inisiatif rendah karbon yang menyumbang kepada pengurangan gas rumah kaca.

“Pengiktirafan ini juga mencerminkan pembudayaan amalan kelestarian di kampus yang semakin baik,” kata Dr. Aeslina.