Oleh Dr. Siti Hajar Zakariah

BATU PAHAT – Kumpulan Fokus Hospitaliti dan Katering (FG-HOSPITALITY) ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 2021 di bawah Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kumpulan fokus yang pada asalnya diketuai oleh Hairuddin Harun terdiri dari lima penyelidik utama dengan berfokuskan kepada pembangunan profesional dalam pendidikan dan penyelidikan.

FG-HOSPITALITY meletakkan sasaran untuk mengembangkan ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi latihan dan perundingan berdasarkan kepakaran.

Pasukan penyelidik yang aktif bekerja dalam penyelidikan akan menyelidik, membangunkan, berkongsi idea dalam kertas kerja, jurnal dan artikel serta mendapatkan geran penyelidikan, penerbitan, konsultasi, dan membina hubungan dengan masyarakat dan membangunkan pelbagai inovasi makanan.

Menurut Ketua Kumpulan Fokus Hospitaliti dan Katering, Dr. Siti Hajar Zakariah, penubuhan utama FG-HOSPITALITY ini bertujuan untuk melaksanakan perubahan baharu dengan menambah baik bidang hospitaliti terutamanya kulinari dan perkhidmatan makanan serta mengenal pasti topik dan kaedah baharu untuk hala tuju pendidikan dan penyelidikan masa hadapan.

Sepanjang tahun 2021, pelbagai aktiviti telah dijalankan bersama komuniti setempat, pelajar, penasihat industri dan rakan universiti dari Indonesia.

Antaranya Knowledge Transfer Programme – Let’s Bake with Fun berkaitan pembuatan bakeri bersama golongan B40, Program Jom Belajar Sambil Berniaga 2021: Jom Jadi Usahawan, Webinar Understanding The Concept of Halal & Haram 2021, International Virtual Forum : Future Challenges of TVET in Culinary Graduates Career Option, Visiting Professor on Why and How Hospitality in the Health Care Services, Career as A Professional Chef with Chef Sabri Hassan.

Selain itu, penyertaan penyelidik bersama pelajar dalam pelbagai pertandingan inovasi makanan pada tahun 2021 juga telah mengharumkan lagi nama universiti apabila mereka berjaya meraih empat pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Fokus utama kumpulan FG-HOSPITALITY bagi tahun 2022 adalah mempertingkatkan lagi kolaborasi bersama industri makanan dan lain-lain institut di Malaysia untuk menambah latihan, pengetahuan dan manfaat kepada pelajar serta masyarakat sejajar dengan tagline “UTHM produces professionals.”

 

*Kursus Career as a Professional Chef antara salah satu program yang dianjurkan oleh FG-HOSPITALITY.