BATU PAHAT, 9 Feb 2022 – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan daripada pihak industri bagi membincangkan hasrat untuk menjadikan fakulti ini sebagai pusat latihan berkaitan teknologi refrigerant dan penyaman udara.

Kunjungan tersebut melibatkan delegasi dari Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd. (PAPAMY), Panasonic Appliances Air Conditioning R&D Malaysia Sdn. Bhd (PAPARADMY), SEIMEI Engineering Co. Ltd Japan dan SEIMEI Engineering (M) Sdn. Bhd. pada 9 Februari lalu.

Delegasi Panasonic diketuai oleh Pengurus Besar Bahagian Korporat dan Sumber Manusia & Bahagian Hal Ehwal Kemudahan & Kebajikan, Hajah Junira Johan manakala delegasi SIEMEI Engineering yang diketuai oleh Ketua Pegawai Esekutifnya, Suzuki Hiroaki.

Perbincangan tersebut berfokuskan kepada hala tuju dan perancangan menjadikan FPTV sebagai Pusat Latihan dan Kelengkapan R290 (Propane) Refrigeran Mudah Bakar (Kelas A3) bagi Penyaman Udara.

Menurut Ketua Jabatan Pengajian Teknologi FPTV, Ts. Dr Bekri Abd Rahim dalam pertemuan itu juga, pihak Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia berminat untuk menjadikan FPTV sebagai pusat latihan dan penyelidikan kepada staf mereka berkenaan teknologi refrigerant dan penyaman udara.

“Perbincangan tiga penjuru ini sekali gus memberikan impak kepada perkembangan fungsi FPTV yang akan dijadikan pusat latihan dan pada masa yang sama fakulti juga akan mendapat sokongan daripada pihak SEIMEI Engineering Co. Ltd Japan dan SEIMEI Engineering (M) Sdn Bhd.,” katanya.

Perkara lain yang turut sama dibincangkan antaranya peluang bagi membangunkan pusat latihan di Kilang Panasonic Malaysia di Shah Alam, penyediaan kepada penempatan pensyarah FPTV dalam menjalankan program sangkutan industri, penempatan latihan industri bagi pelajar FPTV dan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kedua-dua industri.

Turut hadir semasa perbincangan dibuat, Dekan FPTV, Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, ahli pengurusan fakulti serta Pensyarah Program Penyekjukbekuan dan Penyaman Udara.

Delegasi yang hadir turut dibawa melawat fasiliti kelengkapan Latihan dan Teknologi R290 (Propane) Refrigeran Mudah Bakar (Kelas A3) bagi penyaman udara yang terdapat di FPTV.