BATU PAHAT, 24 Jan 2022 –  Delegasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengadakan kunjungan hormat ke Wisma Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) bagi membincangkan rancangan kerjasama kedua-dua institusi ini dalam bidang TVET khususnya berkaitan akademik dan penyelidikan.

Delegasi UTHM diwakili oleh Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET), Prof. Madya Ts. Dr Razali Hassan dan Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Prof. Madya Ts. Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi.

Hadir sama, beberapa wakil Pengurusan Fakulti iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Alias Masek dan Ts. Dr Bekri Rahim serta Timbalan Pengarah MyRivet, Dato’ Ts Dr. Mohammad Naim Yaakub dan Ts. Dr Mohd Fadhli Zulkifli.

Kunjungan delegasi terbabit disambut baik oleh Presidennya, Tan Sri Dato’ Soh Tian Lai yang juga merupakan Profesor Adjung FPTV bersama tujuh pengurusan tertinggi dalam FMM.

Kunjungan hormat itu juga turut membincangkan perancangan untuk mengadakan memorandum of understanding (MoU) antara UTHM dan FMM memandang pada masa kini terdapat lebih 3000 syarikat bernaung dibawahnya.

Menurut Dr. Abdul Rasid, pihaknya mencadangkan tujuh bidang vokasional yang terdapat di FPTV bekerjasama dengan FMM dalam pelaksanaan work-based learning dan industry match-making.

“Cadangan Kerjasama yang diutarakan FPTV kepada pihak FMM amat penting dalam memastikan kelestarian program TVET yang ditawarkan oleh fakulti sekali gus dapat memenuhi keperluan industri.

“Hal ini selaras dengan Pembangunan Kurikulum Program TVET yang bersifat Industry Driven,” katanya.

Dalam perbincangan tersebut, pelbagai cadangan telah diutarakan untuk pertimbangan pihak FMM antaranya cadangan penglibatan institusi itu dalam menjayakan virtual campus dan teaching factory yang mana ia mampu menaikkan lagi taraf pekerja di industri.