BATU PAHAT- Sejak tahun 2013 sehingga kini, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam memastikan graduan ijazah sarjana muda pendidikan vokasional (ISMPV) memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mengikut bidang masing- masing.

Hasil usaha tersebut, seramai 1,086 graduan FPTV telah memiliki SKM sejak 2013 melalui enam pensijilan iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Proses Kimpalan Arka Kepingan Logam (MC-024-3:2012), Sijil Kemahiran Malaysia Operasi Pemesinan (MC050-3:2012), Sijil Kemahiran Malaysia Penyeliaan Pemasangan & Penyenggaraan HVAC (ME-020-3:2021), Sijil Kemahiran Malaysia Jurubina Bangunan (B-010-2), Sijil Kemahiran Malaysia Rekabentuk Multimedia Pengarangan (IT-070-3), dan Sijil Kemahiran Malaysia Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik – Tiga Fasa (EE-320-3:2012).

Secara umumnya pelaksanaan latihan kemahiran di FPTV adalah dijalankan secara embedded dalam kurikulum akademik ISMPV iaitu pemetaan beberapa kursus di dalam kurikulum ISMPV dengan keperluan National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi setiap pensijilan SKM.

Pensijilan tahap tunggal (single tier) blended no exit point merujuk kepada kaedah persijilan yang melibatkan pelaksanaan kombinasi dua atau lebih program bertauliah sehingga tahap persijilan yang tertinggi dalam laluan program tersebut. Manakala verifikasi luaran dan penganugerahan tahap sijil kemahiran hanya berlaku pada tahap program bertauliah yang tertinggi sahaja.

Model ini diperaku di bawah sistem persijilan kemahiran Malaysia seperti mana yang telah ditetapkan dalam Seksyen 28 Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 [Akta 652].

Manakala standard untuk jaminan kualiti bagi pentauliahan program SKM di FPTV adalah berdasarkan kepada Kod Amalan Pentauliahan Program Kemahiran (KAPPK) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Menerusi model ini para pelajar ISMPV FPTV berpeluang untuk mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang masing-masing setelah tamat tempoh pengajian berserta SKM tanpa tambahan tempoh masa pengajian, dengan kos yang jauh lebih murah berbanding sekiranya mengikuti program SKM di institusi lain.

Menurut Ts. Dr. Hasril Amiruddin, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FPTV merangkap Pengurus Pusat Bertauliah (PPB), satu kelainan yang menjadikan program ISMPV FPTV begitu unik kerana ia boleh dianggap sebagai selling point.

“Ini kerana ia bukan sahaja memberi faedah kepada graduan sebagai bakal tenaga pengajar TVET, tetapi juga kepada pihak stakeholder seperti kolej vokasional, sekolah harian dengan aliran Pendidikan Awal Vokasional (PAV) dan Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA), sekolah pendidikan khas yang mempunyai kursus SKM dan institusi TVET yang sememangnya SKM itu merupakan satu keperluan untuk menjadi tenaga pengajar di institusi-institusi tersebut.

“Graduan yang bersifat `ready made’ ini sudah pasti memberi kelebihan dalam persaingan di pasaran kerja berdasarkan pensijilan yang mereka miliki melalui inisatif ini,” katanya.

Pusat Bertauliah FPTV turut merancang untuk menguatkan lagi fungsi sebagai Pusat Bertauliah Modular dan Pusat Bertauliah PPT Amali bagi memberi peluang kepada orang awam dan pelajar UTHM daripada fakulti lain yang berminat untuk untuk mendapatkan SKM atau Penyata Pencapaian (PC) mengikut mod program yang bersesuaian.

Selari dengan tagline “UTHM Produces Professionals,” pelaksanaan latihan kemahiran ini di FPTV yang tidak mengenepikan amalan pedagogi kandungan menjadi satu cabaran baharu dalam melahirkan tenaga pengajar vokasional, namun usaha ini dapat membantu meningkatkan nilai tambah graduan UTHM.