Oleh Hamizah Mohd Safuan

PAGOH – Selepas dibuka kepada pelajar pada tahun 2021, Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kini memperluaskan lagi penyertaan program pensijilan profesional Microsoft kepada staf universiti.

Para peserta terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik dari UTHM serta penyertaan dari universiti luar iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pada sesi kali ini akademi menawarkan kursus Microsoft Office Specialist: Excel Associate dan Microsoft Certified: Power BI Data Analyst Associate kepada staf melalui sistem e-Kursus UTHM.

Kursus yang dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih bertauliah dari AI.DA secara dalam talian pada 13 hingga 16 Mac 2022 ini turut menyediakan sesi peperiksaan mengikut piawaian Microsoft.

Selain fokus utama iaitu menawarkan pensijilan profesional kepada pelajar, pembangunan bakat staf juga menjadi salah satu agenda utama akademi ini.

Selari dengan keperluan digital semasa dalam dunia Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity (VUCA), setiap individu perlu peka dalam mencari ruang dan peluang untuk meningkatkan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).

Staf sokongan universiti juga tidak terkecuali dalam peralihan bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri Information and Communication Technology (ICT) yang kian berkembang.

Salah seorang peserta, Azreen Md Amin, Ketua Penolong Pegawai Teknologi Maklumat UTHM berkata sebagai nadi penggerak kepada agenda pendigitalan universiti, staf khususnya di Pusat Teknologi Maklumat amat memerlukan kemahiran tambahan bagi memastikan kelancaran proses kerja yang lebih efisien.

Sementara itu, Dr. Ilyani Abdullah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI), UMT pula berkata peluang yang diberikan oleh AI.DA amat bersesuaian dengan keperluan semasa staf dan pelajar.

“Program seperti ini perlu diteruskan agar lebih banyak pihak dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari dalam tugas seharian.” katanya.

Pusat Kepimpinan dan Kompetensi UTHM bersama Pusat Pembangunan Bakat dan Inovasi UMT turut berpandangan jauh sekali gus memberikan sokongan penuh menaja staf untuk mendapatkan pensijilan profesional ini.

Dengan membuka laluan kepada staf, pelbagai manfaat dapat diperoleh antaranya staf yang telah memiliki pensijilan profesional ini ditawarkan menjadi jurulatih bersekutu akademi bagi membantu menyampaikan kandungan kursus berkenaan kepada para pelajar pada masa akan datang.

Sambutan yang amat menggalakkan ini diharap dapat menjadi dorongan kepada pihak lain untuk  menganjurkan kursus-kursus yang menjurus kepada pensijilan profesional dan kompetensi bagi membantu organisasi meningkatkan lagi prestasi staf dalam perkhidmatan.