Sukarelawan FAST santuni asnaf dan komuniti Parit Jawa, Muar

Penyampaian sumbangan kepada asnaf disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Zaky Noh, Dekan FAST diiringi Penghulu Mukim Parit Jawa, Tuan Mohd Afezan Yahya, Wakil Pelajar STC FAST dan MPP UTHM.

MUAR – Kelab Sains dan Teknologi (STC), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus cawangan Pagoh telah menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan melibatkan golongan asnaf dan komuniti Mukim Parit Jawa, Muar, Johor.

Program dengan kerjasama Pentadbiran Mukim Parit Jawa, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri Johor ini diadakan pada 16 April 2022 lalu bertempat di sekitar Mukim Parit Jawa.

UTHM menghantar 30 sukarelawan terdiri daripada pelajar STC dan pelajar pascasiswazah dari FAST, diiringi oleh Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar selaku penasihat program dan penyelaras kesukarelawanan pelajar FAST; Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, Timbalan Dekan HEPA FAST; Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani, Ketua Jabatan Pemerkasaan Bakat Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar dan Prof. Madya Ts. Dr. Faridah bte Kormin, Felo Perhubungan Masyarakat FAST.

Manakala kumpulan Mukim Parit Jawa pula diwakili oleh sukarelawan dari Pejabat Penghulu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Mor, Pertubuhan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) RISDA dan wakil Laman Tani Kompleks Penghulu (Laman Tani).

Pada program tersebut, sukarelawan UTHM menyediakan 600 bungkus bubur lambuk di Kompleks Penghulu Mukim Parit Jawa untuk diedarkan kepada komuniti. Aktiviti ini sekali gus mampu mengeratkan hubungan dengan komuniti mukim terbabit kerana mereka berpeluang berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran sesama sendiri.

Kos penyediaan tiga periuk bubur lambuk bagi program ini turut ditaja oleh pihak Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Dekan FAST, Prof. Madya Dr. Mohamad Zaky Noh turut hadir memberi sokongan kepada sukarelawan selain turut menyertai sesi Ziarah Ramadhan FAST ke rumah-rumah penerima sumbangan di sekitar Mukim Parit Jawa.

Beliau berkata interaksi seumpama ini adalah satu perkara yang amat positif dalam usaha untuk merapatkan jurang antara warga kampus dan komuniti, terutamanya setelah dua tahun universiti melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.

“Program seperti ini mampu memupuk sikap kesukarelawanan, kebolehan bekerjasama dan berkomunikasi dengan efektif serta membina jati diri pelajar agar peduli dengan keperluan komuniti dan masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Dato’ Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin, Pegawai Daerah Muar, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Wan Rosli Wan Muda, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid Malaysia dan Habsah Marjuni, Ketua Pegawai Operasi Muslim Aid Malaysia turut hadir bagi meraikan komuniti dan pelajar di kompleks tersebut.

Pada sesi ini juga, Muslim Aid Malaysia telah menyampaikan sumbangan 50 bakul barangan keperluan kepada penerima yang terdiri dari komuniti Mukim Parit Jawa.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian sumbangan wang tunai dan barangan dapur oleh Tuan Mohamed Shahari Mohamed Yatim dari Majlis Agama Islam Negeri Johor Daerah Muar kepada 15 penerima dari mukim tersebut.

Komuniti Parit Jawa yang diwakili penghulunya memberi maklum balas positif terhadap penganjuran program dan penglibatan pelajar FAST.

“Penglibatan dan komitmen yang ditonjolkan oleh penuntut fakulti ini menjadi satu penanda aras tinggi bagi penganjuran program akan datang,” katanya.

 

Tengku Zarith Hazlin Tengku Zainal Abidin (kiri), pelajar tahun 3 merangkap Pengerusi STC FAST mengambil bahagian memasak bubur lambuk bersama komuniti.

Bubur lambuk yang telah siap dibungkus untuk diagihkan kepada komuniti di sekitar Mukim Parit Jawa, Muar.

Penyampaian sumbangan daripada Wan Rosli Wan Muda dari Muslim Aid Malaysia sambil disaksikan Dato Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin, Pegawai Daerah Muar, Prof Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa, Provost UTHM Kampus Pagoh dan Tuan Mohd Afezan Yahya, Penghulu Mukim Parit Jawa.

Penyampaian sumbangan tunai dan barangan dapur oleh Tuan Mohd Afezan Yahya sambil disaksikan Tuan Mohamed Shahari (MAINJ).

 

 

Disediakan oleh:

Tengku Zarith Hazlin Tengku Zainal Abidin, Siti Zakiah Izzati Samsudin, Nursafiza Sani dan Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar

Categories
Sains Gunaan dan TeknologiSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe