FAST kaji bronok, perkenal menu baharu tarik pelancong ke Muar

Sampel bronok yang diperolehi dari muara Sungai Muar

PAGOH, 12 Januari 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Centre of Research for Sustainable Uses of Natural Resources (SUNR), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) sedang menggerakkan usaha menjalankan kajian berkaitan sejenis timun laut daripada keluarga besar gamat yang dikenali sebagai bronok.

Penyelidikan yang diketuai oleh Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin tersebut dijalankan dengan kerjasama saintis rakyat terkenal, Mohd Ilham Norhakim Lokman yang berasal dari Muar, Johor.

“Selain penyelidikan, pihak kami juga menggerakkan usaha ke arah membantu komuniti nelayan dan peniaga makanan tempatan dengan memperkenalkan juadah istimewa berasaskan gamat Sungai Muar iaitu kerabu bronok,” kata Dr. Kamarul.

Bronok atau nama saintifiknya Acaudina molpadioides juga dikenali sebagai kentang laut (sea potato) memandangkan bentuknya yang seakan-akan ubi kentang yang tumbuh di ekosistem laut.

Spesis tersebut merupakan sejenis hidupan laut invertebrata yang dikategorikan sebagai timun laut dan gemar hidup di dataran berlumpur.

Sebelum ini, kerabu bronok yang juga disebut sebagai Acaudina salad dan sea cucumber salad dalam kalangan pelancong luar negara telah menjadi daya tarikan tambahan di Pulau Langkawi selain daripada produk berasaskan gamat.

Juadah kerabu bronok tersebut dianggap mengandungi khasiat yang seakan sama seperti gamat emas yang merupakan bahan utama dalam penghasilan produk tradisional berasaskan gamat, yang sifatnya diyakini membantu penyembuhan luka serta rejuvenasi.

Populariti kerabu bronok di Pulau Langkawi telah mencetuskan idea kepada Dr. Kamarul untuk menggerakkan usaha awal ke arah membantu memperkenalkan juadah kerabu bronok di Muar setelah mendapat maklumat terkini tentang kehadiran spesis tersebut di muara Sungai Muar.

Berdasarkan pemerhatian pada ciri-ciri luaran atau morfologi sampel-sampel bronok yang diperolehi dari muara Sungai Muar, ternyata ia amat mirip dengan ciri-ciri Acaudina molpadioides dan juga bahan utama kerabu bronok yang digunakan di Pulau Langkawi.

“Bagi memastikan bahawa spesis timun laut tersebut adalah benar-benar bronok, pengekstrakan osikel-osikel atau tulang-tulang kecil daripada tisu sampel akan dilakukan untuk mengenalpasti bentuk osikel yang terkandung seterusnya membuat rumusan tentang status spesis.

“Di samping itu, kaedah penjujukan DNA juga akan dijalankan untuk mendapatkan kesimpulan akhir tentang status spesis sampel-sampel tersebut,” katanya.

Memandangkan Muar amat terkenal dengan beberapa jenis makanan tempatan yang unik termasuk juadah berasaskan tiram, maka pengenalan kerabu bronok sebagai menu tambahan dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Dengan memperkenalkan dan mempopularkan kerabu bronok di Muar, orang ramai akan mempunyai tambahan satu destinasi pilihan untuk menikmati juadah kerabu bronok iaitu Muar di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

“Resepi kerabu tempatan boleh digunakan dalam penyediaan kerabu bronok agar ia menjadi lebih unik dan mempunyai ciri-ciri masakan tempatan.

“Usaha pengenalan juadah kerabu bronok ini akan turut membantu meningkatkan penjanaan ekonomi setempat dalam kalangan komuniti nelayan dan peniaga makanan tempatan di Daerah Muar,” katanya.

Categories
Penyelidikan dan InovasiSains Gunaan dan Teknologi