SUNGAI BESI, 7 Jan 2022 – Pasukan Dr. Air yang ditubuhkan pada awal 2021 kini telah melebarkan sayapnya ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi membantu menyediakan bekalan sumber air bersih dari air bukit.

Menurut Pengarah Urusan Ittihad Maju Jaya Sdn Bhd., Profesor Madya Dr. Mohd Zainizan Sahdan, projek ini bertujuan memanfaatkan sumber air bukit semula jadi di UPNM untuk dijadikan air minuman.

“Masalah utama sumber air ini adalah kandungan besi dan mangan yang tinggi yang tidak mampu diselesaikan dengan penapisan yang biasa.

“Hasil kepakaran Dr. Air ini telah berjaya menyelesaikan masalah ini dengan gabungan resepinya yang tersendiri.

“Resepi bahan penyah besi dan mangan iaitu DR001 telah berjaya menurunkan paras kedua-dua bahan itu mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Pasukan Dr. Air bekerjasama dengan penyelidik dari UPNM di bawah Sustainable Water Supply Project yang dipantau oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikannya, Brig Jen Profesor Ir. Dr. Norazman Mohamad Nor (B).

Penyelidik UPNM diketuai oleh Dr. Noradila Ahmad bersama ahlinya, Dr. Jestin Jelani, Dr. Zuliziana Suif dan Dr. Maidiana Othman.

Jelas beliau, sistem ini telah digunakan sebagai bekalan air bersih untuk bangunan Research Management Centre (RMC) mereka sekali gus sebagai tempat pertama untuk mempromosikan air minuman dari sumber air semulajadi di universiti itu.

“Dua mesin water dispenser yang lengkap dengan air panas, sejuk dan suhu bilik telah dipasang di pejabat tersebut,” katanya.

Projek ini juga merupakan projek contoh daripada Dr. Air bagi mempromosikan bekalan air bersih dari sumber air bawah tanah dan air bukit yang biasanya memerlukan rawatan sebelum dijadikan sumber air bersih untuk minuman dan kegunaan harian.

Tambah beliau, Containerised Water Filtration System® merupakan produk yang telah mendapat IP melalui UTHM dan dilesenkan kepada Syarikat Terbitan Universiti (STU), Ittihad Maju Jaya Sdn Bhd.

“Potensi produk ini amat besar berdasarkan permintaan yang semakin meningkat pada tahun 2021,” katanya.

Beliau menjangkakan permintaan terhadap produk ini akan sentiasa bertambah kerana produk ini hanya memerlukan kos penyelenggaraan yang rendah dan merupakan produk pakar tempatan yang boleh diselesaikan tanpa perlu mengimport pakar luar.

Untuk rekod, pasukan Dr. Air merupakan gabungan antara pensyarah dan pelajar iaitu Dr. Zainizan dan Ts. Mohammad Erwan Zaki Mat Radzi yang juga merupakan rakan kongsi STU, Ittihad Maju Jaya Sdn. Bhd.

Hasil inovasi di UTHM melalui Kumpulan Integrasi iaitu Water Technology Engineering (WATE) yang bernaung di bawah Institute of Integrated Engineering (I2E) ini telah membuktikan gabungan antara industri dan akademia mampu menghasilkan satu gabungan yang jitu.

Bagi menyediakan kemudahan penyelenggaraan, Dr. Air telah bertapak di Johor, Kelantan dan Sabah.

 

*Containerised Water Filtration System© daripada Dr. Air

 

*Sumber air bukit yang terdapat di UPNM

 

*Water Dispenser dari sumber air bukit di UPNM