PAGOH, 2 Disember 2021 – Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama Design Cost Consultant dan Cinnotek International menganjurkan Program “International Construction Industry Week @FTK 2021 (iCIW @FTK 2021)” secara dalam talian pada 28 November sehingga 2 Disember 2021 yang bertemakan “Construction for the Future”.

Menariknya, program ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada peserta dalam kalangan pelajar dan staf UTHM, malah daripada industri serta institusi luar dalam dan luar negara.

Program yang berlangsung selama lima hari ini diadakan secara langsung menggunakan aplikasi Zoom dan secara langsung dari Facebook FTK.

Program ini merupakan siri kedua yang diadakan secara dalam talian dengan menampilkan 10 slot melibatkan satu slot forum, satu slot lawatan tapak secara maya dan 12 ceramah industri yang berkaitan dengan cabaran dan teknologi pembinaan masa kini yang disampaikan oleh para pakar dari institusi dan industri.

Seramai 19 pengucaptama telah dijemput untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Program ini juga turut menjemput Dato’ Sr Zulkefli Mohd Zain yang merupakan profesor adjung Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam sebagai perasmi program iCIW @FTK201.

Pengarah program iCIW @FTK2021, Ts. Nur Faezah Yahya berkata, program ini telah menjadi program tahunan jabatan dan penganjuran kali ini merupakan siri kedua.

Menurut beliau program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar FTK tentang isu, cabaran dan realiti sebenar di industri pembinaan terutamanya dalam menghadapi fasa endemik Covid-19 di Malaysia,” katanya.

“Program ini dapat menjadi medium perkongsian ilmu, pengalaman dan isu-isu di lapangan dalam pembelajaran norma baru.

“Di samping itu, program ini juga memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi terus bersama wakil-wakil industri.

“Usaha ini penting untuk persediaan para pelajar dalam menghadapi alam pekerjaan kelak,” katanya.

Manakala Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Ts. Dr. Norshuhaila Mohamed Sunar berkata, program seumpama ini adalah satu usaha yang baik dalam memastikan kerjasama yang erat dapat berterusan, serta memperkukuhkan peranan industri di universiti.

“Melalui program kerjasama sebegini, peserta dapat mengukuhkan ilmu bidang pembinaan selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Program sebegini dapat merealisasikan hasrat jabatan dalam memperkasakan jaringan serta keterlibatan industri di dalam kurikulumnya,” katanya.

Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor berkata, iCIW @FTK 2021 merupakan satu usaha dan alternatif yang baik staf Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam dalam memastikan pelajar sentiasa mendapat ilmu yang berkaitan.

“Hasil maklum balas positif yang diterima, program ini juga mampu memberi pendedahan yang baik kepada pelajar dan staf bersama industri,” katanya.

Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.