Hari Kitar Semula@UTHM Pagoh berjaya kumpul 628kg barangan kitar semula

Jumlah barangan kitar semula yang berjaya dikumpul

Hari Kitar Semula@UTHM Pagoh 2.0 anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus cawangan Pagoh berjaya mengumpul 628 kilogram (kg) barangan untuk dikitar semula.

Program dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) merupakan sebahagian daripada program Hari Alam Sekitar@UTHM-KCP 2021 yang diadakan pada 12 hingga 23 Oktober 2021.

Menurut pengarah program, Ts. Dr. Roslinda Ali sepanjang tarikh itu, dengan bantuan pihak SWM barangan kitar semula yang dikumpulkan oleh warga Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) telah dikutip dan dihantar ke pusat kitar semula.

Kutipan tersebut melibatkan barangan seperti kotak kadbod (42.8 %), kertas (19.3%), plastik (9.6%), sisa elektrik dan elektronik (6.8%), kaca (4%), besi (3.3%), suratkhabar (1.3%), aluminium (1%) dan tetrapak (0.3%).

Manakala 11.6% lagi merupakan pakaian terpakai yang akan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Tambah Dr. Roslinda, pihak urus setia program dan SWM turut membuat lawatan ke kafeteria di dalam kampus dan di kolej kediaman UTHM Pagoh bagi memberi sedikit penerangan dan risalah tentang penggunaan plastik sekali guna dalam pengoperasian kafeteria.

“Ini adalah merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran dalam usaha untuk menjadikan UTHM Pagoh sebagai sebuah kampus bebas plastik.

“Memang agak mustahil untuk terus mewajibkan larangan penggunaan plastik sekali guna di dalam kawasan kampus dan kolej kediaman.

“Namun warga kampus perlu diberi pendedahan secara berkala agar amalan ini dapat diterima pakai dan diterapkan dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata pihak universiti tidak mahu pengusaha kafeteria terbeban dengan pelaksanaan larangan penggunaan plastik secara serta-merta.

“Seeloknya biarlah mereka menghabiskan dahulu bekalan plastik yang sedia ada dan menggantikannya dengan barang yang boleh diguna semula.

“Mereka juga harus didedahkan bagaimana untuk menggantikan plastik sekali guna dengan barang lain yang boleh menjimatkan perbelanjaan dalam jangka masa panjang,” ujar beliau.

 

 

*Sebahagian urus setia program yang diketuai oleh Ts. Dr. Roslinda Ali

Categories
Sosial , Kebajikan dan MasyarakatTeknologi dan KejuruteraanTeknologi Kejuruteraan
Subscribe