Oleh Farid Danial Norazman

Batu Pahat, 27 Dis 2021 – Research Centre for Unmanned Vehicle (RECUV) dan Kelab Aeronautik UTHM, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama menganjurkan program webinar yang bertajuk “Industrial Talk: Airport Management and Financial Management During COVID-19” secara dalam talian.

Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para ahli Kelab Aeronautik tentang pengurusan lapangan terbang, selain memberi penekanan terhadap cabaran dan strategi pengurusan lapangan terbang dan kewangan sewaktu dunia dilanda wabak COVID-19.

Webinar ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Jefry Ramli yang mempunyai pengalaman selama 19 tahun di Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).

Jefry menjadi antara pengurus lapangan terbang termuda pada usia 29 tahun dan kini beliau merupakan seorang pengurus lapangan terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Pada program ini, Jefry telah memberi perkongsian sedikit sebanyak berkenaan latar belakang Malaysia Airports.

Beliau juga mengadakan sesi kuiz interaktif bersama ahli Kelab Aeronautik untuk mengetahui kadar pengetahuan am pelajar terhadap pengurusan lapangan terbang serta memberi penerangan tentang model kewangan lapangan terbang.

Pada sesi tersebut, beliau turut menceritakan tentang hasil pendapatan lapangan terbang yang terbahagi kepada dua iaitu aero revenue dan non-aero revenue, disusuli impak Covid-19 terhadap hasil lapangan terbang.

COVID-19 telak memaksa negara di seluruh dunia untuk menutup sempadan antarabangsa dan mengenakan sekatan perjalanan yang ketat untuk membendung penularan virus itu.

Penutupan sempadan yang mengakibatkan penurunan jumlah penumpang yang mendadak pada tahun 2019 dan 2020 memaksa pihak MAHB merancang pelan kelangsungan hidup dan pemulihan.

Perkongsian yang diberikan beliau telah membuka mata setiap ahli Kelab Aeronautik dalam mengenali dan memahami konsep secara asas perniagaan dan ekonomi lapangan terbang.

Melalui webinar ini ahli Kelab Aeronautik sedikit sebanyak dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan asas sebelum menceburi kerjaya dalam industri penerbangan pada masa akan datang.