Oleh Suhailah Muhammad Philip

Pemberian bantuan kebajikan kepada pelajar menerusi program Sabil Al-Hikmah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Food@Campus KPT diteruskan lagi pada Semester I Sesi 2021/2022 melibatkan 234 pelajar di kolej-kolej kediaman sekitar Kampus Induk Parit Raja, Kampus Cawangan Pagoh dan pelajar tanpa asrama yang berada di kediaman masing-masing.

Bantuan tersebut diberikan ketika berlangsungnya Soft-launching Program Sabil Al-Hikmah UTHM – Food@Campus KPT yang telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Ismail pada 18 Oktober 2021 lalu bertempat di Kolej Kediaman Tun Dr Ismail (KKTDI), kampus induk.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Haszrinaz Husain @ Hashim, Pengarah-pengarah HEPA, Pengetua-pengetua Kolej kediaman, Pegawai PHEP, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP).

Menurut Haszrinaz, program Sabil Al-Hikmah UTHM bagi semester I ini telah bermula pada 15 November lalu secara serentak di tujuh kolej kediaman universiti termasuk pelajar tanpa asrama dan akan berakhir pada 13 Januari 2022 nanti.

Tambah beliau, bantuan baucar tunai yang dikreditkan ke akaun pelajar pula diberikan kepada mereka yang terpilih yang berada di kediaman masing-masing.

Untuk rekod, Program Sabil Al-Hikmah telah dilancarkan pada Mac 2016 dan sehingga Jun 2021 sebanyak 2,194  pek makanan dengan nilai terkumpul sebanyak RM306,277.93  telah berjaya diedarkan kepada pelajar-pelajar UTHM.

“Kini, pelaksanaan Sabil Al-Hikmah telah diperkemaskan yang mana pelajar hanya perlu mengimbas kod QR di kafeteria kolej-kolej kediaman dan kedai makanan terpilih yang berada di luar kampus.

“Pihak universiti merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah sudi menyumbang dan menjayakan Program Sabil Al-Hikmah pada kali ini,” katanya.

Dalam memastikan program bantuan ini dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar selaku pengelola program dengan kerjasama MPP amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk staf UTHM.

Sumbangan boleh dibuat menerusi potongan gaji dan tunai.