BATU PAHAT – Penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Amirul Faiz Abdul Latif mencipta kejayaan membanggakan apabila terpilih menerima Anugerah Menteri Pengajian Tinggi sekali gus dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2020 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang berlangsung secara maya pada 9 November 2021.

Amirul juga turut terpilih menerima Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek hasil penglibatan cemerlang dalam kepimpinan. Beliau banyak menganjurkan program bual bicara peringkat antarabangsa yang memberi manfaat kepada ramai mahasiswa.

Beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM3000, Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM3000 sumbangan Bank Simpanan Nasional, trofi utama Tokoh Siswa, sijil, iPad beserta hadiah iringan daripada UTHM serta tawaran biasiswa Menteri Pengajian Tinggi.

Amirul juga terpilih menerima Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek hasil penglibatan cemerlangnya dalam mengetuai barisan kepimpinan kolej kediaman, selain turut aktif menyertai pertandingan debat sehingga pernah dinobatkan sebagai juara.

Manakala Nurul Atiqah Rohaizar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat menerima Anugerah Khas Kepimpinan Ibn Ummu Maktum kerana penglibatan aktifnya dalam aktiviti kesukarelawanan di peringkat universiti sehingga peringkat antarabangsa.

Khairul Firdaus Mohd Talib dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM pula menerima Anugerah Kepimpinan Sukan hasil penglibatan aktifnya dalam kepimpinan sukan universiti. Beliau sebelum ini banyak menganjurkan program sukan berimpak tinggi, antaranya aktiviti pendakian Kem Dasar Gunung Everest dan Gunung Kinabalu.

Manakala Mek Zi Cong penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik menerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi hasil penglibatannya menyertai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa.

Melalui anugerah ini, beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam ucapannya berkata UTHM berbangga kerana terpilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ke tujuh buat julung kalinya secara maya disebabkan penularan wabak Covid-19 yang masih membelenggu negara.

Beliau dalam ucapannya berkata penganjuran anugerah ini sebenarnya dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar lain untuk terus aktif melibatkan diri dan berusaha memperbaiki prestasi dalam memberi anjakan positif kepada bangsa, agama dan negara.

Penganjuran ATS ini diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang aktif dan cemerlang di peringkat antarabangsa secara individu atau berpasukan.

Sejak dianjurkan pada tahun 2013, ATS menjadi platform terbaik bagi melahirkan graduan IPT yang lebih menonjol bukan sahaja memiliki pencapaian akademik yang baik, malah turut mempunyai sahsiah diri yang berketrampilan.

Penganjuran kali ini menyaksikan sebanyak 509 penuntut dari 43 IPT seluruh negara menyertai ATS ini.

Sebanyak 14 anugerah individu dan empat anugerah pasukan dipertandingkan, melibatkan enam kluster iaitu Kepimpinan Pelajar, Pembangunan Sosial, Pembangunan Akademik dan Intelektual, Kesukarelawanan, Kluster Khas Individu dan Kluster Khas Pasukan.

Pemilihan para penerima anugerah perlu melalui sesi penilaian yang ketat di peringkat KPT kerana setiap calon akan melalui proses temu duga.

Hanya lima calon terbaik yang akan ditemu duga bagi dipilih sebagai pemenang Anugerah Menteri Pengajian Tinggi (Tokoh Siswa Kebangsaan).

Turut dipertandingkan, Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Anugerah Penghargaan Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi.

 

*Tokoh Siswa Kebangsaan 2020 Amirul Faiz (kiri) bersama Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly

 

*Nurul Atiqah Rohaizar yang aktif dalam aktiviti kesukarelawan meraih Anugerah Kepimpinan Ummu Ibnu Maktum