Oleh Nurul Najihah Mohd Ghazali dan Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin

PAGOH, 20 Nov 2021 – Sekumpulan pelajar prasiswazah program Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan kerja lapangan berkaitan penyelidikan udang galah (giant freshwater prawn) di Jeti Cikgu Shidee, Gersik, Muar.

Kumpulan yang diketuai Nurul Najihah Mohd Ghazali itu diselia oleh pensyarah FAST, Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin.

Kerja lapangan tersebut mendapat kerjasama yang baik daripada pakar udang galah tempatan iaitu Zulkifli A Wahab atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Ajoi dan komuniti nelayan Gersik yang berpengalaman luas dalam aktiviti penangkapan udang galah di muara Sungai Muar.

Menurut Cikgu Ajoi, udang galah dari muara Sungai Muar mempunyai keunikannya yang tersendiri, antaranya daging yang pejal dan isi yang manis sehingga mampu memikat selera orang ramai yang telah mencuba masakan berasaskan udang galah di sungai tersebut.

Tambah beliau, terdapat lima spesies udang galah di Sungai Muar iaitu udang galah, udang gading, udang sepit biru kecil, udang sepit kuning dan udang botol.

Hasil daripada kerja lapangan itu, kumpulan pelajar terbabit dapat mengenalpasti dua jenis udang galah yang dikenali sebagai udang gading dan udang sepit kuning yang terdapat di muara Sungai Muar ketika menemuramah beberapa nelayan berkaitan termasuklah Cikgu Ajoi.

Menurut Dr. Kamarul, penglibatan Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, FAST melalui projek sarjana muda (PSM) ini bukan sahaja merangkumi kajian taksonomi udang galah secara konvensional, tetapi juga meliputi aspek genetik dan juga pengetahuan tradisional atau warisan semulajadi.

“Semua objektif kerja lapangan tersebut telah berjaya dicapai dan memenuhi keperluan hasil pembelajaran kursus PSM Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, FAST.

“Pencapaian hasil pembelajaran kursus tersebut juga secara langsung membantu proses dokumentasi kepelbagaian biologi dan pemuliharaan udang galah di muara Sungai Muar,” katanya.