Oleh Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar, ChM Dr. Norhayati Muhammad, Dr. Munira Zainal Abidin, Dr. Nur Hafizah Malik

PAGOH – Seramai 45 pelajar tahun dua program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian berjaya memperoleh sijil kompetensi penyembelihan ayam cara Islam dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika menyertai kursus yang berlangsung pada 1 dan 7 November 2021.

Kursus anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dijalankan secara amali ini memberi peluang kepada pelajar mempelajari dan mengetahui kaedah penyembelihan yang betul dan mematuhi syarak.

Hasilnya kesemua pelajar yang menyertai kursus ini berjaya memperolehi sijil yang merupakan pra-syarat untuk memohon ‘Tauliah Penyembelih.’

Sijil ini merupakan satu nilai tambah bagi pelajar untuk memohon penempatan industri dan kerjaya setelah tamat pengajian.

Ini selaras dengan hasrat universiti dan perwakilan pelajar sendiri agar seorang pelajar sekurang-kurangnya mempunyai satu sijil kompetensi/profesional sebelum bergraduan.

Amali penyembelihan ayam dan ceramah yang diadakan pada 1 November lalu telah dijayakan oleh Tuan Hj. Nasri Hj. Selamat dan Mohd Firdaus Abu Talib dari JAINJ.

Manakala satu lagi sesi ceramah yang diadakan secara dalam talian pada 7 November lalu telah disampaikan oleh Zamari Mohd. Amin dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ).

Pihak fakulti berharap kursus seumpama ini dapat diadakan lagi pada setiap kohort pelajar pada masa akan datang kerana mampu menjadi salah satu faktor bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian.