Oleh Hamizah Mohd Safuan

PAGOH – Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA) yang bernaung di bawah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menghasilkan keluaran pertama program Pensijilan Profesional Microsoft pada 1 dan 2 Disember 2021.

Seramai 59 orang pelajar FAST telah berjaya mendapat sijil profesional Microsoft Office Specialist: Excel Associate yang diuruskan sepenuhnya oleh akademi.

Pelajar-pelajar tersebut telah mengikuti program latihan selama dua hari pada di bawah bimbingan jurulatih bertauliah (Certified Trainers) bagi Microsoft Office Specialist (MOS) dan Microsoft Innovative Educator (MIE).

Kumpulan jurulatih MOS terdiri daripada staf akademik FAST iaitu Dr. Khuneswari Gopal Pillay, Dr. Hamizah Mohd Safuan, Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, Dr. Sabariah Saharan, Dr. Norhaidah Mohd Asrah dan Dr. Maria Elena Nor.

Program latihan intensif diberikan kepada pelajar secara dalam talian adalah berdasarkan kurikulum yang digariskan oleh Microsoft.

Selain daripada latihan pensijilan, program ini juga menawarkan latihan persediaan peperiksaan (Exam Preparation) bagi memastikan semua pelajar mendapat latihan yang berstruktur dan berpeluang melihat sendiri simulasi peperiksaan pensijilan Microsoft sebenar.

Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA) menawarkan tiga program pensijilan Microsoft yang utama iaitu Microsoft Office Specialist (MOS), Microsoft Technical Certifications (MTC), dan Microsoft Certified Professional (MCP).

Melalui program pensijilan MOS, peserta boleh memilih rangkaian sijil Excel Associate, Word Associate atau PowerPoint Associate.

Program MTC pula menawarkan pilihan teknologi Azure yang lengkap iaitu Microsoft Azure Fundamentals, Azure AI Fundamentals, Azure Data Fundamentals, dan Azure Power Platform Fundamentals.

Manakala program MCP menawarkan dua sijil utama iaitu Microsoft Data Scientist Associate dan Microsoft Data Analyst Associate.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Aida Mustapha selaku Ketua Jurulatih Bertauliah AI.DA, misi dan visi akademi adalah untuk mengasah bakat menerusi kemahiran digital dan pensijilan profesional yang diiktiraf secara global dalam usaha memastikan tenaga kerja tersedia pada masa hadapan serta memenuhi pasaran kerjaya.

Pensijilan ini terbuka kepada pelajar, staf akademik, staf sokongan, guru-guru serta penjawat awam dari institusi pendidikan yang tentunya menjadi nilai tambah bagi tujuan pembangunan kerjaya masing-masing,” katanya.

Selari dengan slogan “UTHM produces Professionals,” program pensijilan Microsoft ini menjadi satu kelebihan kepada pelajar dan graduan yang memiliki kemahiran digital dan numerasi yang diperlukan oleh industri serta diiktiraf secara global.

“Akademi ini berharap agar lebih ramai lagi pelajar UTHM berjaya memiliki pensijilan profesional, tidak terhad kepada Microsoft, tetapi juga pensijilan-pensijilan lain yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan program pensijilan profesional yang ditawarkan oleh AI.DA boleh didapati di pautan https://aida.uthm.edu.my/.