Oleh Nurdiyanah Majdan

BATU PAHAT – Seramai 379 orang staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 (APC) yang berlangsung pada 7 November 2021 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, kampus induk.

188 orang staf telah terpilih menerima APC manakala selebihnya menerima anugerah lain seperti Anugerah Jasa Bakti (74), Anugerah Taat Setia (71), Anugerah Khas Panel Pembangunan Sumber Manusia (45), serta Anugerah Cuti Belajar (1).

Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM.

Beliau dalam ucapannya, mengucapkan tahniah dan syabas kepada para staf UTHM yang telah terpilih untuk menerima penganugerahan yang saban kalinya diadakan ini.

“Saya bagi pihak Lembaga Pengarah Universiti @ LPU, pengurusan dan seluruh warga universiti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua warga UTHM yang telah terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang @ APC bagi tahun 2020.

“Jika hendak berjaya, kita tidak boleh meletakkan diri statik di satu tempat sahaja, sebaliknya kita perlulah berusaha meningkatkan potensi diri dengan cara mengamalkan nilai bersama universiti seperti amanah, profesional dan inovatif,” katanya.

Beliau juga sangat berharap mendapat kerjasama penuh daripada warga UTHM dalam mencapai hasrat menjadi Global Technopreneur University @ GTU menjelang  tahun 2030.

Program anjuran Pejabat Pendaftar ini turut dihadiri Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UTHM, Timbalan-timbalan Naib Canselor UTHM, Pegawai-pegawai Kanan universiti.

Sementara itu, Datuk Wahid pula berharap seluruh warga kerja universiti terus berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pelajar dan masyarakat Malaysia amnya.

“Semoga segala khidmat bakti yang disumbangkan kepada masyarakat selama ini dapat memberi manfaat berganda kepada rakyat di negara ini,” katanya.