Oleh Tan Lai Wai

BATU PAHAT, 8 Ogos 2021 – Enam staf Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE) pada Jun 2021.

Staf tersebut ialah Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Tan Lai Wai, Ir. Ts. Shamrul-mar Shamsuddin, Ir. Dr. Shahrul Niza Mokhatar dan Ir. Ts. Dr. Mohd Hanif Ismail, menjadikan jumlah keseluruhan berkelayakan ACPE seramai sembilan orang di FKAAB.

Terdahulu, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Abdul Halim Abdul Ghani telah memperoleh ACPE pada tahun 2015, manakala Ir. Ts. Dr. Raha Abd Rahman dan Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Riduan Yunus pada tahun 2020.

Jurutera ACPE diiktiraf sebagai mempunyai kelayakan kompetensi teknikal dan profesional jurutera profesional yang setara oleh semua negara ASEAN.

Bagi mendapat pengiktirafan ACPE, pemohon perlu memenuhi kriteria seperti mempunyai kelayakan akademik kejuruteraan yang diiktiraf, berkelayakan jurutera profesional di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), mempunyai sekurang-kurangnya tujuh tahun pengalaman praktikal, mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman dalam penyeliaan kerja kejuruteraan dan memenuhi polisi Pembangunan Profesional Berterusan BEM.

Permohonan ACPE perlu diperakukan oleh BEM terlebih dahulu sebelum dinilai dan diluluskan oleh ASEAN Chartered Professional Engineer Coordinating Committee (ACPECC). Proses permohonan ini mengambil masa hampir satu tahun.

Semua ACPE adalah didaftarkan di bawah ASEAN Chartered Professional Engineer Register (ACPER) di https://acpecc.net/v2

 

 

                                                              

                                                               

                                                                  

*Sembilan staf yang berkelayakan ACPE di FKAAB