Oleh Nur Amalina Hanapi

32 pelajar Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama empat pensyarahnya bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Pengerang melaksanakan projek penyelidikan ‘Idea Senibina’ khusus untuk Desaru Youth Centre dan Desaru Depo Transit Hub.

Projek yang dilaksanakan di bawah subjek Studio Senibina ini kini sedang giat dijalankan selama sembilan minggu di bawah Program Pembelajaran Perkhidmatan Malaysia-University for Society (SULAM) oleh sekumpulan pelajar tahun dua program Sarjana Muda Sains dalam Seni Bina.

Mereka dibimbing oleh empat pensyarah iaitu Nur Amalina Hanapi selaku penyelaras, Khairul Asyraf Mohd Rodzi, Ts. Dr. Izudinshah Abd. Wahab dan Ts. Dr. Noor Dina Mohd Amin

Menurut Amalina, para pelajar diminta untuk melakukan kajian preseden dengan tipologi yang sama dan mereka kemudiannya akan menumpukan perhatian untuk merancang lakaran projek organisasi bersaiz sederhana Pusat Pemuda Desaru dengan skala reka bentuk sederhana dan matriks kerumitan berdasarkan zon berpandu dan jadual penginapan yang diberikan.

Jelas beliau, projek kajian yang diberikan akan terhad kepada ruang tunggal fleksibel dua tingkat dengan luas maksimum 2000 meter persegi di kawasan pembangunan bandar seluas kira-kira satu ekar.

“Bandar Penawar dan Desaru merupakan kawasan kota yang sedang pesat membangun, jadi kami melihat lakaran Pusat Pemuda Desaru ini dapat dijadikan titik permulaan untuk mula berfungsi sebagai tempat menyalurkan keperluan dan permasalahan anak muda masa kini.

“Mengira nisbah jumlah penduduk, projek kajian penyelidikan ini akan melibatkan kawasan sekitar taman rekreasi yang ada di Bandar Penawar sebagai pusat pembelajaran terbuka dan penyediaan para belia dan masyarakat untuk memacu kreativiti dan keusahawanan mereka dalam bidang yang berkaitan.

“Selain itu, kawasan tersebut juga akan dijadikan tempat untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, masa lapang dan pusat sosio-ekonomi yang sihat di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, pelajar juga disarankan untuk membuat rancangan kajian dan perencanaan yang luas sebagai asas penyelidikan bagi aktiviti pembelajaran di studio untuk lakaran depo kenderaan dan pusat transit awam.

Sementara itu, Mohd Rezuan Daud dari Jabatan Senibina, Majlis Perbandaran Pengerang berkata kajian Pusat Depo pula akan menjadi tempat letak kenderaan berserta pusat servis bagi jentera berat dan para pelajar disaran untuk memerhati dan mempelajari kajian preseden dengan tipologi yang serupa sebagai program perkongsian dan pemindahan pengetahuan untuk komuniti Desaru di sana.

“Melalui kajian demografi yang dilakukan, kaedah pembelajaran baharu melalui aktiviti SULAM serta input pembelajaran yang diperolehi daripada aktiviti khidmat masyarakat ini dapat melengkapkan dan memperluaskan lagi idea cadangan senibina untuk sesebuah komuniti yang sangat bersesuaian sebagai pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

 

*Sesi perkongsian oleh En. Fadzil dari Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap, Majlis Perbandaran Pengerang mengenai pentingnya garis panduan perancangan tempatan dan perkhidmatan web pengangkutan yang disediakan.