Aplikasi “DiMES MikroBiz dalam Buy Muslim First” berjaya meraih pingat emas dan hadiah terbaik ketika menyertai The 2nd International Conference on Islamic Thoughts 2021 (PEMIKIR 2) yang berlangsung pada 7 Julai 2021 lalu.

Produk yang dipertandingkan di bawah kategori Islamic Innovation ini mendapat tajaan geran TIER 1 daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Ts. Dr. Roslinda Ali dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Turut sama terlibat sebagai penyelidik dalam projek ini, Kapten Dr. Muhammad Suhaimi Sulong dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta Anim Zalina Azizan daripada Fakulti Pengurusan Teknologi dan Pengurusan.

Projek tersebut turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik industri Mobile Fiesta Management, Muhammad Rizaki Sarimin.

DiMES MicroBiz merupakan sistem aplikasi telefon pintar yang pertama kali dibangunkan bertujuan untuk menilai kebolehan dan keupayaan pengusaha mikro meningkatkan produktiviti dan saingan perniagaan.

Lapan modul direka bentuk untuk mencapai objektif tersebut iaitu nilai keusahawanan, pengurusan, sumber manusia, kepimpinan, pemasaran, kewangan, operasi dan penyelidikan.

Menurut Dr. Roslinda, penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan ramai di luar sana hilang sumber pendapatan.

“Dengan terhasilnya produk DiMES MikroBiz ini, pihak kami berharap dapat membantu pengusaha mikro khususnya, untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan perniagaan mereka supaya dapat mencari alternatif untuk meneruskan perniagaan dan kekal berdaya saing,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana mempunyai pasukan penyelidik yang hebat, kreatif dan saling memberi sokongan agar dapat meneruskan penyelidikan sehingga berjaya walaupun dalam keadaan norma baharu.