BATU PAHAT – Penarafan Webometrics Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Julai 2021 menduduki tangga ke-12 peringkat institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia.

Pencapaian ini seterusnya meletakkan nama UTHM di tangga ke-1369 peringkat IPT seluruh dunia.

Untuk rekod, UTHM sebelum ini pernah berada di kedudukan ‘top 10’ dengan pencapaian tertingginya di kedudukan ke tujuh pada Januari 2015 dalam ranking Malaysia.

Kira-kira 31 ribu institusi dari lebih 200 buah negara dinilai dalam penarafan ini.

Penarafan Webometrics merupakan sistem penarafan akademik IPT  yang dijalankan sebanyak dua kali setahun oleh Cybermetric Lab iaitu sebuah kumpulan penyelidik terbesar dari Sepanyol (Scimago).

Sebelum ini, penilaian yang dibuat dipecahkan kepada beberapa kriteria iaitu PresenceImpactOpenness dan Excellence.

Namun begitu, berlaku perubahan ketara dalam indikator kali ini yang mana kriteria Presence (5%) telah dikeluarkan dan hanya tiga kriteria sahaja yang diambil kira iaitu Visibility : impak kandungan web (50%), Openness : 210 penyelidik yang terkenal (10%) dan Excellence : kertas kerja yang diindieks dalam Google Scholar dan paling tinggi dirujuk (40%).

Penarafan Webometrics ini merupakan pengiktirafan dunia terhadap penulisan serta penerbitan ilmiah dan saintifik yang dihasilkan oleh sesebuah institusi.

UTHM sentiasa menambah baik sistem dan perkhidmatan sedia ada saban tahun bagi memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam penarafan ini.

Info lanjut layari (http://www.webometrics.info).