Oleh Nurulisyazila Othaman

Kelab Amal Wacana (KAWAN), Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif membantu kira-kira 50 keluarga di sekitar daerah Batu Pahat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang kini sedang melanda dunia.

Program yang dikenali sebagai ‘Bakul Harpan PPB’ melibatkan staf PPB dengan kerjasama Pejabat Khidmat Wakil Rakyat DUN Parit Raja dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parit Raja.

Bantuan yang mula diedarkan sejak 18 Julai lalu berbentuk makanan, keperluan peribadi wanita dan juga bayi.

Menurut Pengerusi KAWAN, Mohd Yusof Mohd Nor, program ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu golongan yang terkesan, di samping menzahirkan keprihatinan ahli PPB terhadap masyarakat setempat.

“Pihak kami berharap program ini mampu memberikan 1001 manfaat kepada penerima dan juga semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Sementara itu Dekan PPB, Profesor Madya Dr. Zailin Shah Yusof pula berkata idea tersebut tercetus apabila warganya banyak melihat kesempitan yang dihadapi masyarakat terutamanya bagi mereka yang hilang punca pendapatan.

“Sempena bulan Zulhijjah yang mulia ini, pihak kami mengambil kesempatan untuk berkongsi rezeki hasil dana yang dikumpul dalam kalangan warga PPB.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan mengendalikan projek ini sehingga berjaya,” katanya.