BATU PAHAT, 5 Julai 2021 – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan mengadakan sesi perkongsian kepakaran berkaitan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada lebih 100 ketua panitia dan guru-guru di negeri Kelantan, khusus dalam bidang reka bentuk dan teknologi.

Bengkel ‘Penggunaan Telegram untuk Meningkatkan Kualiti PdPR Negeri Kelantan’ merupakan inisiatif yang dijalankan oleh FPTV dengan Kerjasama Unit TVET Sektor Pembelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Perkongsian kepakaran ini adalah bertujuan untuk menangani permasalahan yang dihadapi oleh guru dan murid dalam konteks komunikasi dua hala semasa sesi PdPR dijalankan.

Menurut Pensyarah FPTV, Dr.  Nurhanim Saadah Abdullah yang juga panel penceramah bagi sesi tersebut, pendedahan kepada penggunaan aplikasi Telegram untuk mempertingkatkan kualiti sesi PdPR diberi penekanan utama dalam sesi tersebut.

“Semasa program ini berlangsung, pelbagai input telah dikongsikan kepada guru-guru dalam menggunakan aplikasi Telegram semasa sesi PdPR, namun penekanan diberikan lebih kepada penggunaan voice chat, sharing screen, attendance bot, quiz bot, folder chat dan channel.

 “Majoriti peserta yang terlibat memberi maklum balas yang sangat positif kerana perkongsian itu merupakan ilmu baharu yang sangat berguna untuk dipraktikkan,” katanya.

Beliau juga berharap sesi perkongsian seumpama ini dapat membantu kumpulan pendidik menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul khususnya ketika negara perlu berdepan dengan pendidikan norma baharu akibat pandemik Covid-19.