33 pelajar FPTV peroleh Geran Khas Prihatin

Oleh Nur Nadiah Ismail Seramai 33 pelajar Bachelor Of Technology (B-tech), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah sah berdaftar perniagaan dengan...

Oleh Nur Nadiah Ismail

Seramai 33 pelajar Bachelor Of Technology (B-tech), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah sah berdaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terpilih menerima Geran Khas Prihatin (GKP).

GKP merupakan bantuan kewangan secara one-off kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Bantuan ini diberikan  secara berperingkat kepada penerima.

Peluang ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan pelajar semester satu dibawah Program Seminar Keusahawanan yang dianjurkan oleh Pelajar Kursus Keusahawanan bersama HEPA FPTV dengan kerjasama Pusat Teknousahawan Pelajar (PTP).

Menurut Pensyarahnya, Nur Nadiah Ismail yang juga penasihat kursus Keusahawanan, beliau akan berkongsi segala maklumat yang berkaitan dengan keusahawanan kepada para pelajar agar mereka dapat memanfaatkan setiap peluang dan ruang yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“GKP merupakan peluang bagi pelajar menggunakan peruntukan tersebut antaranya sebagai modal perniagaan, membayar pendaftaran SSM dan membuka akaun syarikat.

“Adalah menjadi tanggungjawab pengajar untuk menerapkan pembangunan modal insan yang meliputi kemahiran insaniah melalui aspek keusahawanan iaitu keupayaan pelajar meneroka peluang perniagaan, kompetensi, berinovasi dan kreativiti, selain menjadi pencipta kerjaya (job creator),’’ katanya.

Muhammad Zulkifli, pelajar dari kursus Sarjana Muda Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara yang telah menerima GKP berjumlah RM 4000 berkata beliau menggunakan bantuan GKP ini sebagai modal permulaan untuk syarikat miliknya HZ Kucho Enterprise yang menawarkan perkhidmatan dan pemasangan penyaman udara.

“Saya menggunakan GKP untuk memperbaharui lesen perniagaan SSM dan membuka akaun syarikat sendiri.

“Alhamdulillah mempunyai perniagaan sendiri merupakan salah satu impian saya dan ianya dapat direalisasikan dengan mudah tanpa perlu mengeluarkan modal sendiri,’’ katanya.

Sementara itu, Muhammad Ikhwan Aiman yang merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara berkata GKP ini telah memberi peluang kepadanya membangunkan syarikat sendiri iaitu ‘Tellow Engineering’ secara kecil-kecilan yang bertapak di Kulim, Kedah.

“Bantuan GKP ini juga telah membolehkan saya untuk membeli dan melengkapkan semua mesin atau peralatan yang akan saya gunakan untuk melakukan kerja dengan lebih mudah dan cepat,” katanya.

Geran yang diberikan kepada kumpulan pelajar terbabit akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjalankan perniagaan. Ini selaras dengan objektif Dasar Keusahawanan Negara 2030 iaitu meningkatkan bilangan usahawan negara yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan dan kompetitif.

Categories
Pendidikan Teknikal Vokasional

RELATED ARTICLE