BATU PAHAT Atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disaran agar cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan norma baharu ketika berdepan dengan situasi Pandemik Covid-19 yang belum ada titik noktahnya.

Atlet perlu sentiasa positif dan bijak menggunakan kesempatan waktu penangguhan kejohanan ketika ini dalam menyusun perancangan latihan lebih baik agar dapat mencapai sasaran yang diinginkan.

Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah alasan bagi Atlet universiti untuk tidak berlatih di kediaman masing-masing. Mereka perlu segera membuang pemikiran yang negatif agar kecergasan mereka berada di tahap yang terbaik jika kejohanan kembali dapat dilangsungkan nanti.

Tambahan pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini telah memaklumkan tarikh penganjuran temasya sukan terbesar institut pengajian tinggi (IPT) iaitu Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang dijadual berlangsung pada 28 Februari hingga 8 Mac 2022 dan ASEAN University Games (AUG) Thailand pada 22 hingga 30 Jun 2022. Walaupun tarikh tersebut bergantung kepada keadaan semasa negara dan dunia, namun para atlet universiti perlu memulakan latihan bagi memastikan mereka cukup bersedia menghadapi temasya sukan tersebut.

Pusat Sukan Universiti, UTHM mengambil langkah pro-aktif dengan memberi galakan dan dorongan kepada setiap pasukan Sukan UTHM menggunakan pendekatan yang baharu dalam memastikan pembangunan sukan UTHM terus berjalan seperti yang dirancang.

Antaranya adalah latihan mingguan pasukan dan kem latihan pusat secara online menggunakan aplikasi seperti google meet, google form, whatsApp, Telegram dan YouTube. Jurulatih akan memantau perkembangan pencapaian atlet mereka juga secara dalam talian.

Pusat Sukan Universiti, UTHM juga sentiasa membantu pasukan dalam mengekalkan kecergasan atlet dengan mengadakan ujian kecergasan menggunakan aplikasi google meet bagi mengesan atlet yang tidak berlatih. Kejohanan sukan dalaman universiti juga dijalankan secara dalam talian bagi memastikan atlet sentiasa aktif berlatih.

Beberapa kursus dalam talian dan webinar telah dianjurkan dengan menjemput panel penceramah yang berprofil tinggi antaranya “The Pocket Rocket Man” Mohd Azizulhasni Awang, Pelumba Basikal Trek Profesional Negara); “The Boss” Dato’ Mirnawan Datuk Hj. Nawawi, Bekas Pemain Hoki Negara); Shalin Zulkifli, Ratu Boling Negara dan Muhammad Ziyad Zolkefli, Atlet Olahraga Negara.

Atlet perlu sentiasa bersemangat dan mempunyai keazaman yang tinggi dalam mencapai cita-cita mereka untuk berjaya dalam bidang sukan. Mereka perlu mempunyai kepimpinan diri yang kuat serta yakin dan berani dalam menempuh halangan yang sedang dihadapi oleh semua atlet di dunia ini sekarang.

Atlet juga disaran bijak mengawal emosi mereka jika berasa tertekan dengan pelbagai masalah yang dihadapi seperti penundaan tarikh kejohanan, kekurangan peralatan latihan di rumah, tidak dapat turun berlatih di gelanggang sebenar, masalah internet ataupun kurang motivasi. Pada ketika ini, komunikasi yang berkesan sangat perlu agar program latihan dapat berjalan dengan lancar mengikut perancangan.

 

 

 

 

Mohd Hazrin Abd Rahman

Ketua Unit Kecemerlangan Pelajar

Pusat Sukan Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)