Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT – Atlet Futsal Lelaki Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Alif Mat Amin berjaya terpilih untuk sertai Kem Latihan Pasukan Futsal Kebangsaan yang bermula pada 19 April lalu hingga 17 Mei 2021 ini di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kem latihan pusat selama empat minggu yang disertai 22 pemain yang dipanggil ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong ini diadakan sebagai persiapan menghadapi kejohanan jemputan SAT International Futsal Championship dari 22 hingga 27 Mei 2021 di Bangkok, Thailand.

Menariknya, Alif merupakan satu-satunya pemain daripada institut pengajian tinggi (IPT) yang dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan ini.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan ini menjadi tunjang utama Pasukan Futsal UTHM ARMADA yang beraksi dalam Liga Super Futsal IPT.

Beliau juga menyertai Pasukan Futsal Terengganu untuk Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).

Anak jati Terengganu ini pernah dinobatkan sebagai Olahragawan UTHM tahun 2020 dan merupakan duta produk barangan sukan ‘Figos’ hasil kerjasama Pusat Sukan Universiti (PSU) dengan Syarikat Figos bagi tujuan pembangunan sukan di UTHM.

PSU sentiasa menyokong kemenjadian mahasiswa dan menerapkan kemahiran insaniah sejajar dengan misi universiti bagi melahir dan melatih ahli profesional dan teknologi yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena global melalui program akademik holistik dan pembudayaan ilmu serta penyelidikan yang berteraskan konsep tauhid.

Tambahan lagi, PSU sentiasa menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangun dan memperkasa program pembudayaan dan pembangunan sukan di IPT dalam melahirkan atlet intelek (The Thinking Athlete) yang mempunyai kecergasan fizikal dan minda yang seimbang serta mempunyai daya saing.