Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) telah menganjurkan Kursus Peraturan Baharu Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) bagi Jurulatih IPT secara maya pada 23 hingga 25 Julai 2021 lalu.

Kursus tersebut melibatkan penyertaan 50 peserta dalam kalangan jurulatih silat dari universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Kursus ini diadakan bertujuan meningkatkan pemahaman jurulatih IPT tentang peraturan baharu PERSILAT.

Jurulatih diberi penerangan berkaitan skema pemarkahan pertandingan mengikut peraturan yang terkini serta jenis-jenis kesalahan ringan dan berat sebagai panduan bagi menyertai kejohanan silat.

Selain itu, jurulatih turut diberi penerangan berkaitan perkara-perkara yang dibolehkan dan dilarang untuk dilakukan oleh jurulatih atau pelepas semasa pertandingan.

Majlis Perasmian kursus telah disempurnakan oleh Datuk Wira Haji Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Turut serta, Dr. Pekan Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT; Dato’ Haji Md. Sohaimi Mohamed Shah, Timbalan Presiden PESAKA; Dato’ Haji Mohd Arpan Shari, Naib Presiden 1 PESAKA; Profesor Madya Mohd Ariff Mat Hanafiah, Naib Presiden 2 PESAKA; Puan Bibi Aishah Golbal Shah, Setiausaha Agung PESAKA; Dato Osman Nok, Setiausaha Jawatankuasa Kejurulatihan PESAKA; Azli Puddin, Pengarah Pusat Sukan Universiti UTHM; Kamarul Ariffin A.Latib, Setiausaha Jawatankusa Teknikal PESAKA dan Pegawai-Pegawai Pusat Sukan Universiti UTHM.

Manakala majlis penutup kursus pula telah disempurnakan oleh Bibi Aishah Golbal Shah, Setiausaha Agung PESAKA pada 25 Julai lalu.

Pihak penganjur berharap agar segala maklumat yang disampaikan melalui kursus tersebut dapat dipraktikkan oleh pasukan silat IPT masing-masing sebagai persediaan menyertai kejohanan peringkat IPT seperti Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Karnival Sukan MASUM, Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka serta kejohanan-kejohanan anjuran IPT dan persatuan.

PST Silat KPT-UTHM sentiasa komited dalam pembangunan sukan IPT seperti yang terkandung dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tingggi (DPSIPT) untuk melahirkan ?The Thinking Athlete? dengan mensasarkan 30 peratus atlet negara terdiri daripada atlet dalam kalangan pelajar IPT, melalui kerjasama dan hubungan strategik dengan agensi kerajaan, persatuan sukan dan badan bukan kerajaan.

Pemilihan UTHM ini adalah berdasarkan kepada kemudahan yang sedia ada di IPT dan juga kekuatan sumber manusia seperti tenaga kepakaran, kejurulatihan, kepegawaian dan pengurusan tertinggi universiti yang sentiasa membantu dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai sebuah Pusat Sukan Tumpuan Silat IPT.