Akademik-industri reka bentuk dan pembuatan cari kesepakatan, bina hubungan baik

BATU PAHAT, 4 Julai 2021 – Bagi membina hubungan yang lebih baik antara universiti dengan industri, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah...

BATU PAHAT, 4 Julai 2021 – Bagi membina hubungan yang lebih baik antara universiti dengan industri, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Webinar bertajuk “Bagaimana ‘Perkahwinan’ Akademik dan Industri Reka bentuk dan Pembuatan Mencapai Kesepakatan?.” pada 3 – 4 Julai 2021 secara dalam talian.

Webinar anjuran Program Reka bentuk dan Pembuatan Perabot (BPP), Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi (JPPO), ini merupakan salah satu pengisian bersempena Program World Industrial Design Day 2021 dengan kerjasama Persatuan Pereka Perindustrian (PEREKA), Malaysia dan Creative Research on Furniture Design Technology (CREATE).

Penganjuran webinar ini berkisar tentang perkongsian dan perbincangan di antara panel akademik dan panel industri bidang reka bentuk dan pembuatan dalam mencapai kesefahaman.

Webinar ini disiarkan secara live di pautan Zoom dan Facebook FPTP dan telah dihadiri hampir 100 peserta terdiri daripada ahli akademik, staf dan pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi  awam dan swasta seperti UTHM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI) serta organisasi seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), politeknik serta kolej komuniti.

Dua panel telah dijemput iaitu Profesor Dr. Mohamad Hariri Abdullah, Profesor di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam merangkap Presiden PEREKA dan Tuan Hj Mahpar Atan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Komersial), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Kedua-dua panel diajukan dengan beberapa soalan antaranya cabaran dalam mencari titik kesefahaman menuju kesepakatan di antara pihak akademik dan pihak industri, bagaimana pihak industri mampu membantu pihak universiti untuk meningkatkan kemahiran pelajar sebagai persedian bagi alam pekerjaan sebenar, kepentingan program reka bentuk dan pembuatan, kualiti graduan yang dikehendaki oleh industry dan kesediaan industri mengaplikasi IR 4.0.

Menurut Dr. Mohamad Hariri, kewujudan IR 4.0, digitalization dan pandemik menyebabkan perlunya kolaborasi antara akademik dan industri.

Beliau menekankan empat cabaran utama yang wujud antara akademik dan industri iaitu perbezaan dari segi pengurusan, fokus, aktiviti dan kewangan.

Katanya juga, 48 peratus daripada jumlah eksport sektor perkayuan negara adalah dari sektor perabot (produk nilai tambah tinggi).

“Tahun 2030 menyasarkan 70 peratus daripada eksport perabot adalah dari kategori Original Design Manufacturing (ODM) atau Own Brand Manufacturing (OBM) kerana pada masa ini, kebanyakan perabot yang dihasilkan adalah dari kategori Original Equipment Manufacturing (OEM).

“Oleh itu, hubungan akademik dan industri harus diperkemaskan lagi bagi merealisasikan impian ini,” tegas beliau.

Majoriti peserta memberi maklum balas yang positif dan berharap bahawa program seperti ini perlu dijalankan dengan lebih giat pada masa akan datang. Mereka juga mencadangkan penganjuran akan datang dapat melibatkan lebih ramai ahli panel dalam kalangan akademik, industri, pengamal reka bentuk dan juga pihak kerajaan.

 

 

*Antara peserta yang hadir di pautan Zoom

 

Categories
Pengurusan Teknologi Perniagaan

RELATED ARTICLE