Oleh Anim Zalina Azizan

Sekumpulan penyelidik daripada Kumpulan Fokus Technology & Innovation Management (TIM) di bawah Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan tradisi menjalinkan kerjasama bersama  Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) bagi menjayakan program akademik Pembentangan Proposal Projek Sarjana Muda (PSM) pada 25 Jun 2021 lalu secara dalam talian.

Seramai 26 orang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi telah menyertai program itu, yang mana mereka perlu membentangkan tajuk projek akhir kepada panel yang dilantik dalam kalangan staf Might.

Kerjasama antara penyelidik dan industri ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan perkongsian kepakaran serta idea oleh pakar MIGHT dalam bidang Technology Foresight, di samping memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman bekerjasama dengan industri.

Panel daripada MIGHT yang terlibat adalah terdiri daripada Nadia Sullivan, Mohd Hasan Mohd Saaid, Norsam Tasli Mohd Razali dan Natrah Mohd Emran. Kesemua panel tersebut merupakan pakar dalam penyelidikan Technology Foresight.

Menurut penyelidik kumpulan fokus TIM, Dr. Siti Aisyah Salim merangkap penyelaras program, kerjasama seumpama ini dapat membantu pelajar untuk memperbaiki kertas cadangan PSM mereka yang mampu memenuhi keperluan terkini industri dan negara dalam bidang pengurusan teknologi.

“Kerjasama ini telah terjalin sejak tahun 2013 lagi dan sehingga kini hampir 200 pelajar Jabatan Pengurusan dan Teknologi, FPTP telah terlibat.

“Pelajar-pelajar yang terlibat didedahkan dengan kursus metodologi berbentuk ‘foresight’, seperti, STEEPV Analysis, Future Wheels dan Impact Uncertainty Analysis.

“Pelajar-pelajar ini mendapat bimbingan secara terperinci ketika mengemukakan cadangan tajuk PSM yang berkaitan dengan foresight, antaranya seperti Blockchain, Artificial Intelligence (AI), Internet of Thing (IoT) dan Autonomous Car, Smart Health Care,” katanya.

Tambah beliau, penyelidik dan pensyarah yang terlibat juga turut sama mempelajari perkara baharu dan terkini setiap kali program dilaksanakan sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian.

“Kami berharap hasil penyelidikan pelajar akhir ini mampu membawa mereka ke peringkat global dengan memperkenalkan inovasi teknologi terkini serta mampu memberi impak tinggi dalam dunia penyelidikan dan pembangunan di universiti,” katanya.