Dr. Nur Sofurah diiktiraf Jurulatih Kualitatif Bertauliah Malaysia

BATU PAHAT –  Setelah berkecimpung dalam dunia kualitatif sejak tahun 2009 dan menjadi tenaga pengajar, penyelia, pembimbing dan penilai penyelidikan kualitatif hampir 10 tahun, Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz,...
Pengasas dan penceramah Qualitative Research Colloquium Series 2021

BATU PAHAT –  Setelah berkecimpung dalam dunia kualitatif sejak tahun 2009 dan menjadi tenaga pengajar, penyelia, pembimbing dan penilai penyelidikan kualitatif hampir 10 tahun, Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz, 42 Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diiktiraf sebagai Jurulatih Kualitatif Bertauliah Malaysia oleh Persatuan Penyelidikan Kualitatif Malaysia (QRAM).

Nur Sofurah juga merupakan ketua penyelidik utama dalam bidang nic pengantarabangsaan dan penyelidikan kualitatif di Pusat Penyelidikan Sustainable Professional Education for Excellent Development (SPEED) dan merupakan pengasas kepada Siri Kolokium Penyelidikan Kualitatif iaitu Qualitative Research Colloquium Series (QRCS) yang menyediakan platform kepada penyelidik-penyelidik kualitatif novis di Malaysia untuk mendalami ilmu kualitatif secara teori dan praktikal.

Sepanjang pengalamannya, Nur Sofurah telah terlibat dalam beberapa reka bentuk utama kualitatif termasuk kajian kes (tunggal dan pelbagai), etnografi, etnodrama dan terbaru beliau bakal menggunakan reka bentuk penyelidikan grounded theory dan fenomenologi interpratif.

Menurut Nur Sofurah, penyelidikan kualitatif kini lebih dikenali dalam kalangan penyelidik dalam bidang sains sosial dan pendidikan. Malah ia juga dijalankan dalam kaedah campuran (mixed method) bersama penyelidikan kuantitatif sebagai triangulasi data yang kini juga semakin mendapat tempat dalam kalangan para penyelidik akhir-akhir ini.

“Melakukan penyelidikan kualitatif sangat menarik dan memotivasikan saya kerana ianya merungkai dan reflek kepada realiti kehidupan manusia berkenaan apa dan mengapa sesuatu fenomena itu berlaku,” katanya.

Untuk rekod, QRAM yang ditubuhkan pada tahun 2002 bermatlamat untuk menyediakan platform bagi mereka yang terlibat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai penyelidikan jenis ini.

QRAM juga mengatur aktiviti seperti seminar, bengkel dan forum kualitatif untuk mempromosi dan membimbing penyelidik dan ahli akademik dalam mendekati penyelidikan kualitatif. Persidangan dan bengkel kualitatif antarabangsa diadakan setiap dua tahun yang mana penceramah yang merupakan penyelidik kualitatif utama dari dalam dan luar negara dijemput untuk berkongsi pengalaman dan reka bentuk penyelidikan kualitatif terkini.

Selain daripada membawa penyelidikan kualitatif dalam kalangan pelajar dan penyelidik, Nur Sofurah juga merupakan Jurulatih Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang diperakui dan diiktiraf bagi menjalankan kursus-kursus PSMB.

Beliau yang memiliki kelulusan Doktor Falsafah dari University of South Australia sejak tahun 2014 berkata penyelidikan kualitatif berlaku di hampir semua bidang kehidupan, baik di tempat kerja atau lingkungan sosial dan budaya.

Nur Sofurah yang menjadikan pengantarabangsaan sebagai bidang utama sewaktu PhD kini mendalami aspek kemanusiaan bidang tersebut melalui pelbagai reka bentuk penyelidikan kualitatif melalui dua geran penyelidikan kebangsaan yang telah diperoleh sejak tahun 2016 dan terbaru dalam geran antarabangsa bersama Korea Ploytechnics dan permohonan geran bersama penyelidik dari Rajamangala University of Technology Lanna di Thailand.

Terkini, Nur Sofurah juga telah mengetuai sekumpulan pensyarah ikhtisas di FPTV dalam penyelidikan FRGS bidang falsafah bersama ahli falsafah dari Technical University of Dortmund, Jerman.

Kajian tersebut membawa reka bentuk penyelidikan kualitatif abad ke-21 iaitu kajian kes etnodrama berdasarkan falsafah pasca-kolonialisme serta implementasi paradigma tauhid, dan diaplikasikan dalam penilaian projek pelajar berasaskan persembahan karya yang dinamakan Projek Karya Philo-Sophia yang telah memenangi beberapa pingat inovasi pengajaran di peringkat kebangsaan sejak tahun 2019.

Tambah beliau penyelidikan kualitatif kini semakin popular di Malaysia kerana penyelidik lebih terbuka dan berminat untuk meneroka dan memahami sesuatu isu dan fenomena, termasuk dalam bidang inovasi pengajaran dan penilaian pembelajaran.

 

Menyelia pelajar dan kutipan data kualitatif di Flinders University, Australia

Bersama Profesor Dr. Irene Tan, Timbalan Presiden QRAM

Bersama rakan penyelidik kualitatif QRCS 2019

Dr. Nur Sofurah (kanan) bersama rakan-rakan ketika menyertai pameran penyelidikan dan inovasi

Categories
Pendidikan Teknikal Vokasional

RELATED ARTICLE