Oleh Dr. Mohd Zulfadli Razali

BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program International Education Forum & Workshop for TVET-Campus Sustainability 2021 bahagian pertama secara dalam talian pada 28 April 2021 lalu.

Forum anjuran Centre of Research Sustainable Professional Education for Excellent Development (CoR-SPEED), FPTV dan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) UTHM ini telah menarik minat dan perhatian 123 peserta dari pelbagai negara iaitu Malaysia, Korea, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Para peserta tersebut datang dari Korea University of Technology and Education (KOREATECH), Korea Polytechnics (KOPO) Rajamangala University Technology of Lanna (RMUTL), Suranaree University of Technology (SUT), Vinh Long University Technology of Education (VLUTE), Vietnam Vocational College of Hanoi (VHH), Vietnam-Korea Vocational College of Technology (VKTECH), National Polytechnic Institute of Cambodia (NPIC) UTHM dan lain-lain institusi ASEAN.

Turut sertai forum tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan juga Pengarah MyRIVET, Profesor Madya Ts. Dr. Razali Hassan.

Forum bertajuk TVET Talent in Digital Era ini dikendalikan oleh Ts Dr D’oria Islamiah Rosli dari FPTV selaku moderator forum. Manakala ahli panel terdiri daripada Profesor Madya Ts. Dr. Badaruddin Ibrahim dari UTHM, Dr. Nopadon Maneetien dari Rajamangala University Technology of Lanna (RMUTL) dan Profesor Dr. Youngeun Wee dari Korea Polytechnics (KOPO).

Pelbagai isu yang dibincangkan dalam forum ini antaranya inisiatif yang dilaksanakan oleh Malaysia, Thailand dan Korea dalam menghadapi cabaran TVET dalam era digital, dan persediaan dalam melahirkan tenaga profesional dan kemahiran di era digital.

Menurut Pengarah Program, Dr. Nur Sofurah Mohd. Faiz dari FPTV yang juga pengarah bagi keseluruhan TVET-Program International Education Forum & Workshop for TVET-Campus Sustainability 2021 pihaknya menerima pelbagai soalan dan komen yang sangat positif daripada peserta forum.

“Antara yang disentuh adalah perbincangan berkaitan pendekatan yang dijalankan dalam memenuhi keperluan berkenaan bakat TVET di institusi dan negara masing- masing,” ujar beliau.

Tambah beliau penganjuran forum ini akan disusuli dengan forum bahagian kedua yang akan dianjurkan pada 27 Mei akan datang dengan tema TVET Curricular Innovative Strategies.

“Forum kali kedua ini juga akan dilakukan secara dalam talian dan akan memperluaskan lagi jalinan antarabangsa SPEED, dengan melibatkan bukan sahaja ahli TVET-Campus tetapi juga kerjasama dari UNEVOC Network Members.

“Ahli-ahli institusi yang akan menjadi panel pada forum akan datang ialah UTHM, Vinh Long University, Vietnam dan Rajamangala University, Thailand,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pusat CoR SPEED, Profesor Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad pula berkata penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan CoR SPEED, FPTV sekali gus sebagai permulaan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai program pada masa akan datang.