BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Perisind Samudra Sdn. Bhd. (PSSB) bagi melaksanakan projek inisiatif pembangunan dan penyelidikan Green and Smart City.

Kerjasama itu membabitkan pemberian geran bernilai RM1 juta daripada PSSB kepada UTHM bagi tujuan penyelidikan awal.

Bagi merealisasikan hasrat itu, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dan penyerahan mock cek telah diadakan pada 4 April 2021 lalu.

Majlis ringkas tersebut menyaksikan UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly manakala pihak Perisind Samudra pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Mohd Shafiee Mohd Sanip dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Haji Ibrahim Ahmad.

Menurut Datuk Wahid, perjanjian ini diadakan bertujuan untuk membina kerjasama dalam bidang penyelidikan, sangkutan industri dalam kalangan staf dan pelajar serta aktiviti tanggungjawab sosial.

“Satu Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB telah diwujudkan bagi merancang, melaksana dan memantau segala aktiviti penyelidikan berkaitan ekonomi, pengangkutan, teknologi maklumat, analisis data raya dan pengurusan sisa dan alam sekitar menerusi persetujuan bersama.

“Penggunaan dana geran penyelidikan ini akan disalurkan kepada UTHM dan seterusnya diurus tadbir oleh Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB yang diwujudkan di bawah OASIS Integrated Group (OIG).

Dengan termeterainya kerjasama ini, pihak UTHM-PSSB juga turut mewujudkan sebuah makmal yang dinamakan ‘Perisind BizLab’ sebagai makmal industri di universiti ini,” katanya.

Tambah beliau, Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB akan menyelaras perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek dan aktiviti di bawah Perisind BizLab, manakala Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM pula akan menyediakan fasiliti bagi penubuhan Perisind BizLab.

Kerjasama yang diadakan ini juga bertujuan untuk merealisasikan objektif perjanjian UTHM-PSSB iaitu untuk menyokong usaha melalui pelaksanaan inisiatif pembangunan dan penyelidikan Green and Smart City oleh PSSB bagi menuju ke arah bandar pintar menjelang tahun 2030.