PUTRAJAYA – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi fakulti pertama menerima pengiktirafan Provisional Certificate Low Carbon Cities Challenges 2030 ketika berlangsungnya Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2020 pada 6 April 2021 lalu.

Anugerah Provisional Certificate yang disampaikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ini diberikan atas hasil usaha FPTP dalam menyahut cabaran mengurangkan pembebasan karbon di sekitar kawasan fakulti.

Menurut Dekan, Profesor Dr. Wan Fauzi @Wan Fauziah Wan Yusoff, FPTP sangat komited memberi kesedaran kepada warganya untuk menjadi salah satu kawasan rendah karbon di UTHM menjelang 2030 bagi membantu mengatasi masalah perubahan iklim global.

“Visi FPTP menjelang 2030 adalah mempunyai sistem pengurusan next-generation dan pintar, dengan ciri-ciri hijau bagi memudahkan pengurusan sisa, penggunaan tenaga dan penyerapan karbon.

“Manakala misi FPTP pula bertujuan untuk mencapai persekitaran pelepasan karbon sifar yang mana pelepasan karbon kurang daripada penyerapan karbon dengan menjaga dan memperbaiki persekitaran semula jadi dan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Tambah beliau bagi menyahut cabaran rendah karbon 2030, FPTP telah menfokuskan kepada tiga komponen utama iaitu tenaga, sisa buangan dan lanskap.

“FPTP menyasarkan pengurangan penggunaan tenaga dan sisa buangan sebanyak 15 peratus menjelang 2030 di samping akan menanam lebih banyak pokok di kawasan fakulti dengan sasaran sebanyak 100 pokok,” ujarnya.