UTHM hasilkan inovasi baharu produk berasaskan serat buluh

PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) berjaya menghasilkan inovasi baharu produk berasaskan serat buluh. Menurut Naib Canselor UTHM,...

PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) berjaya menghasilkan inovasi baharu produk berasaskan serat buluh.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, inisiatif yang diambil oleh para penyelidik BambooRC ini bertujuan untuk memajukan lagi teknologi buluh sekali gus mempelbagaikan lagi aplikasi produk daripada serat bagi membuka peluang baharu sumber alternatif komoditi di Malaysia.

Tambah beliau, UTHM memberi penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil akhir produk ini mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah.

“Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini.

“Bagi menjayakan misi ini UTHM turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan yang lain,” katanya.

UTHM juga telah menganjurkan Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ pada 30 Mac lalu bagi membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industri buluh negara, khususnya bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti ini bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir satu hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan, geotextile dan produk tekstil.

Persidangan yang diadakan di UTHM kampus cawangan Pagoh itu telah disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau dalam ucapannya berkata memandangkan potensi tanaman komoditi ini bernilai tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan empat hektar dan ke atas.

Beliau turut mengumumkan KPPK melalui MTIB telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh.

“Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025,” katanya.

Tambahnya lagi, kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Haji Ibrahim Ahmad; Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd Kheiruddin Mohd Rani; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Mohd Fadzhel Mohd Nasir; ADUN Bukit Pasir, Haji Najib Lep; Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa dan Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor.

 

 

 

 

Categories
Penyelidikan dan InovasiPersidanganProduk

RELATED ARTICLE