PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah menubuhkan sebuah pusat servis kenderaan yang dinamakan Uni-Tech Autowork Solutions.

Pusat servis kenderaan yang dibiayai oleh FTK melibatkan kos permulaan sebanyak RM20 ribu ini telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 8 April 2021 lalu.

Sebagai sebuah universiti yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), UTHM telah mengorak langkah untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam ilmu praktikal dengan menerapkan nilai-nilai psikomotor dan afektif kepada pelajar tanpa mengenepikan ilmu kognitif.

Antara program yang terlibat dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran tersebut adalah Program Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di bawah kendalian FTK.

Justeru itu, penubuhan pusat servis kenderaan ini menjadi antara inisiatif yang telah diambil oleh pihak universiti untuk memenuhi kriteria TVET tersebut.

Menurut Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor idea penubuhan ini telah dicetuskan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Sri Ibrahim Ahmad dan telah direalisasi dengan kerjasama ramai pihak.

“Selain daripada kos yang kompetitif, beberapa pihak daripada industri juga telah terlibat dalam membekalkan produk yang akan digunakan di pusat servis ini.

Katanya lagi, perkhidmatan yang ditawarkan oleh UTHM ini secara tidak langsung akan memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar bagi melibatkan diri secara terus di dalam aktiviti penyelenggaraan dan pengujian kenderaan, dan secara langsung dapat menyumbang kepada elemen psikomotor bagi sesi pembelajaran mereka.

“Alatan bengkel yang diguna pakai oleh pusat servis ini adalah alatan sama yang digunakan oleh pelajar dalam kelas amali mereka,” ujarnya.

Jelas Dr. Jumadi lagi, pusat servis ini menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan, pengujian prestasi kenderaan dan pengujian diagnosis kenderaan yang melibatkan pelajar dan dipantau oleh penolong jurutera.

“Antara tiga hasrat utama penubuhan pusat servis kenderaan kepada pelajar UTHM ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pelajar dengan mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah.

“Keduanya adalah untuk memupuk sikap keusahawanan di samping mencipta peluang pekerjaan.

“Ketiganya adalah untuk mengoptimumkan kepakaran staf dan pelajar UTHM melalui fasiliti sedia ada dengan memberikan khidmat kepada komuniti setempat,” katanya.

Dr. Jumadi juga menambah pihak fakulti berhasrat untuk terus mengembangkan lagi perkhidmatan pusat servis ini pada masa akan datang.

“Ketika ini operasi pusat ini dipantau oleh pihak universiti dalam tempoh setahun, hal ini adalah bagi memastikan projek yang dilaksanakan tercapai matlamatnya,” katanya.