Pensyarah dan penyelidik, Profesor Madya Ts. Dr. Norshuhaila Mohamed Sunar menjadi wakil tunggal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terpilih menerima Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.) 2019, Kementerian Pengajian Tinggi pada 7 Januari 2021 lalu.

Penerimaan anugerah tersebut berdasarkan sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan penerbitan termasuk penglibatan di luar tugas rasmi.

Dr. Norshuhaila dari Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) antara lima penerima P.P.C. yang menerima pingat tersebut, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad.

Menurut Dr. Norshuhaila, faktor kejayaan beliau didorong oleh usaha yang berterusan dan kerjasama yang baik daripada pasukan yang sentiasa menyokongnya di belakang.

“Saya sangat bersyukur dengan penerimaan pingat ini, kerana ia mengiktiraf sumbangan saya yang dilihat dari segi pelbagai aspek seperti kualiti interpersonal, pengurusan serta pentadbiran universiti, penerbitan, penyelidikan, pembangunan program baharu di Malaysia, kualiti penyeliaan, hubungan industri, perundingan, khidmat masyarakat, serta penglibatan dalam hala tuju strategik pembangunan staf dan pelajar.

“Selain itu, ia turut mengambil kira penglibatan aktiviti luar seperti sukan serta sumbangan sebagai Ketua Editor dan Lembaga Editor bagi beberapa jurnal antrabangsa yang terkemuka,” katanya.

Terdahulu, selain P.P.C. beliau pernah meraih anugerah  seperti Anugerah Inspirasi Cendiakawan, Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Penerbitan, Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Khas Insentif Naib Canselor (Kebangsaan), Anugerah Penyelidik Cemerlang serta  Anugerah Alumni UTHM.

Menurut Dr. Norshuhaila, beliau juga aktif dalam bidang inovasi yang berasaskan kelestarian alam sekitar dengan kejayaan memperolehi lebih 50 pingat hasil kemenangan dalam pertandingan inovasi di pelbagai peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa seperti SIIF Korea, ITEX, MTE dan BioMalaysia sejak tahun 2014.

“Malah kini, kecemerlangan inovasi ini turut dijadikan contoh dalam kalangan staf serta pelajar dan saya sentiasa berusaha untuk membantu mereka dalam menghasilkan kajian yang berkualiti serta berdaya saing tinggi.

“Hasil kajian penyelidikan itu juga telah berjaya menarik penglibatan pakar dari industri agar produk lebih bermanfaat kepada komuniti,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, kepakaran dan penyelidikan beliau tertumpu kepada teknologi kejuruteraan bio-alam sekitar sejak memperolehi ijazah falsafah kedoktoran (Ph.D) daripada University of Leeds, United Kingdom (UK) pada tahun 2011.

Lebih membanggakan beliau merupakan alumni UTHM dan telah memulakan perkhidmatan beliau di universiti ini sejak tahun 2003.

Menyingkap sumbangan beliau dalam akademik dan penyelidikan, Dr. Norshuhaila dan penyelidik bersama telah menerbitkan lebih 250 penerbitan dalam penerbitan utama jurnal, proseding, penulisan teknikal, modul dan lain-lain penulisan ilmiah.

Selain itu beliau turut memperolehi keseluruhan sejumlah RM2.2 juta geran penyelidikan dari pelbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta turut menyelia 85 pelajar peringkat Ph.d, sarjana serta sarjana muda.

Selain sebagai Penyelidik Kanan di Institut Kejuruteraan Integrasi, Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) UTHM, Dr. Norshuhaila juga telah diberi kepercayaan oleh UTHM untuk melaksanakan beberapa pembangunan program Teknologi Kejuruteraan TVET mengikut spesifikasi kelayakan program ETAC serta MQA.

Antaranya dengan mengetuai pasukan pembangunan dua program pertama di Malaysia iaitu program Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan dan Sarjana Teknologi Kejuruteraan sehingga mendapat pengiktirafan MQA.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam pembangunan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam.

Dr. Nurshuhaila juga telah menaikkan nama UTHM dengan pengiktirafan ETAC serta mewakili Malaysia dalam penanda aras Sydney Accord 2017 di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini sejajar dengan pengalaman beliau selama 18 tahun serta telah mengajar lebih 60 kursus di pelbagai peringkat dan institusi.

Terkini, beliau terlibat dalam pembangunan program baharu bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Quest International University dalam Jawatankuasa Pengajian dan Penasihat Akademik bagi bidang Teknologi Kejuruteraan Awam.

Sebagai Ketua Jabatan, beliau telah meletakkan staf serta pelajar sebaris dengan nama besar industri melalui pelbagai penglibatan kerjasama strategik, projek serta program bersama industri.

Ini dilihat melalui keberjayaan program kurikulum tidak hanya berteraskan pembelajaran di bilik kuliah sahaja, tetapi pelajar turut dinilai serta mengambil projek permasalahan dari industri.

“Ini telah membantu kemenjadian pelajar berkebolehan serta berdaya saing tinggi seiring dengan perkembangan terkini industri teknologi kejuruteraan, buktinya kini berlaku lonjakan kadar kebolehpasaran pelajar di fakulti saya,” ujarnya.

Dr. Norshuhaila berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam memanfaatkan ilmu, pengalaman dan kepakaran beliau demi UTHM dan negara yang tercinta.