BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sudah bersedia bagi menyambut ketibaan pelajar berkeperluan khas selepas mereka dibenarkan pulang semula ke kampus bagi mengikuti Semester II Sesi 2020/2021.

UTHM dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mencegah dan mengekang risiko penularan wabak Covid-19.

Katanya, kira-kira 2,000 kakitangan pentabiran dan pengurusan sudah bersedia bagi membolehkan pelajar yang dikelaskan dalam enam kategori itu menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara fizikal dan dalam talian (hybrid) bermula 1 Mac ini.

“Pelajar kategori 1 yang dibenarkan pulang adalah daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan aktiviti praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

“Selain itu, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian yang telah dikenal pasti oleh fakulti juga dibenarkan pulang ke kampus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pelajar diploma sedia ada di kampus boleh meneruskan pengajian secara hybrid dan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, kecuali dari United Kingdom.

Pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan profesional juga dibenarkan pulang ke kampus.

Sementara pelajar yang tidak termasuk kategori berkeperluan seperti dinyatakan di atas akan mengikuti PdP secara dalam talian di kediaman masing-masing dan tidak perlu kembali ke kampus.

“Pelajar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak dibenarkan kembali ke kampus dan hanya boleh mengemukakan permohonan kembali ke kampus setelah kategori kawasan kediaman bertukar menjadi PKP/PKPB/PKPP.

“Sekiranya pelajar dalam kategori 1 memilih untuk tidak kembali ke kampus, maka pelajar perlu membuat keputusan sama ada untuk menggugurkan kursus atau menangguhkan pengajian bagi semester ini,” katanya. -K! ONLINE

Klik link berikut:

https://www.kosmo.com.my/2021/02/16/uthm-sedia-terima-pelajar-pulang-ke-kampus/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=uthm-sedia-terima-pelajar-pulang-ke-kampus