Dr. Siti Juita Mastura Mohd Saleh, 39 dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi wanita Malaysia pertama memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional atau Remote Pilot License (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia.

Beliau yang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) mendapat lesen tersebut pada tahun 2019.

Dalam industri yang dimonopoli oleh kaum lelaki, beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat, khususnya berkaitan Composite Aerostructures.

Graduan Doktor Falsafah Kejuruteraan Aeroangkasa dari Cranfield University, United Kingdom ini bergiat aktif bukan sahaja dalam bidang penyelidikan malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa khususnya berkaitan teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.

Selari dengan perkembangan UTHM dalam bidang pembangunan Dron, Dr. Juita sebelum ini pernah terlibat dengan pembangunan Dron Penghantaran bagi mengikuti pertandingan Parcel Dron Malaysia anjuran Pos Malaysia 2019. Hasil daripada pengalaman pembangunan dron, beliau bersama-sama penyelidik lain kini telah menghasilkan satu produk komersial dron pertanian PINEXRI-20 menerusi projek kolaborasi antara UTHM dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).

Manakala bagi projek pembangunan Dron Gergasi Malaysia di UTHM atau dikenali sebagai C-Drone, beliau telah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Unit Analisa Struktur. Menerusi projek khas negara ini, beliau dapat menimba pengalaman dan menggunakan kepakaran yang dimiliki dalam aplikasi sebenar.

Tidak terhenti di situ, hasil kerjasama dengan industri, satu geran penyelidikan telah diberikan oleh UTHM kepada beliau untuk membangunkan prototaip pesawat terbang rendah yang juga dikenali sebagai wing-in-ground effect craft.

Terdahulu, beliau yang aktif dalam bidang penyelidikan juga pernah dilantik sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan Berfokus Struktur dan Reka Bentuk Pesawat.

Berada di salah satu institusi pengajian tinggi yang terkenal dengan aktiviti melibatkan bidang pengangkutan aeroangkasa, keretapi dan automotif, Dr. Juita komited untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selari dengan hasrat negara untuk memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030.

Peningkatan kepada pengetahuan integrasi sistem terutama berkaitan dron banyak dipupuk melalui projek-projek dron yang dibangun bersama-sama pelajar di bawah seliaan beliau.

Sehingga kini beberapa keluaran graduan UTHM juga terlibat sebagai pengendali dron profesional terutama pelajar lepasan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik yang juga dianugerahkan lesen juruterbang profesional yang diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di akhir pengajian.

Dr. Juita menzahirkan rasa bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan staf untuk terlibat dalam aktiviti komuniti. Menerusi pelbagai program yang diatur oleh UTHM, beliau berpeluang untuk menyumbang khidmat bakti dan perpindahan ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat mahupun masyarakat orang asli.

Beliau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan pelbagai badan bukan kerajaan seperti Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Masyarakat Orang Asli Kuala (D’Duanu) dalam usaha menganjurkan aktiviti bersama masyarakat kurang berkemampuan.

Berbekalkan semangat dan sokongan rakan-rakan yang berpengalaman dalam pembangunan Sekolah Penerbangan Profesional milik UTHM yang dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA), beliau kini diberi kepercayaan untuk membangunkan akademi dron milik UTHM yang dijangka akan beroperasi dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan salah seorang lembaga pengarah dalam satu syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution yang menjalankan aktiviti komersial produk berasaskan dron serta kursus asas pengendalian dron.

“Saya amat berharap dengan tertubuhnya syarikat ini, ia akan memberi peluang kepada UTHM untuk terlibat dengan lebih aktif bukan sahaja dalam penyelidikan dan pembangunan produk, malahan aktiviti konsultasi melibatkan aplikasi dron dalam pelbagai industri,” katanya.