BATU PAHAT – Kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih kejayaan yang membanggakan apabila berjaya membolot 25 pingat dan 1 anugerah khas ketika menyertai Ekspo Maya Rekacipta dan Pameran Penyelidikan (EREKA 2021) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ekspo Rekacipta yang berlangsung bermula pada 18 Januari hingga 18 Februari lalu diadakan secara maya berikutan negara masih dibelenggu dengan penularan pandemik Covid-19.

UTHM berjaya meraih 13 pingat emas dan 12 pingat perak bersama satu anugerah khas menerusi projek Municipal Solid Waste Polymer Composites (M-PoCs).

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Ts. Dr. Noraini Marsi menarik nafas lega apabila mereka bukan sahaja meraih pingat emas, malah berjaya mendapat pengiktirafan anugerah khas dalam kategori Chemical, Advanced Material and Plastic.

Majlis perasmian penutup EREKA 2021 yang diadakan secara langsung menerusi pautan ‘facebook live’ telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad bertempat di Auditorium Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP.

Menurut beliau matlamat utama penganjuran EREKA 2021 adalah untuk mengetengahkan produk-produk penyelidikan dari semua institusi pendidikan yang memiliki nilai perkomersilan serta mampu menarik perhatian industri dan komuniti untuk pasaran di dalam dan luar negara.

“UniMAP selaku penganjur melahirkan rasa syukur kerana ekspo ini mendapat penyertaan yang amat menggalakkan pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum.

 Seramai 267 penyelidik dari pelbagai institusi pendidikan seluruh negara telah terlibat dan mereka diadili oleh 39 orang juri dari pelbagai bidang akademik dan industri,” katanya.