Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid, pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan merangkap Penyelidik Kanan di Industry Centre of Excellence for Rail (ICoE Rail), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara lima penyelidik yang terpilih menerima Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tahun 2021.

Geran bernilai RM500 ribu bagi kluster pengangkutan dan mobiliti ini julung kali diperkenalkan oleh KPT dengan mengembangkan jalinan kerjasama universiti tempatan, agensi kerajaan dan pihak industri yang terlibat secara langsung dalam sektor pengangkutan rel di Malaysia.

Geran KKP tersebut memfokuskan kepada bidang penyelidikan Railway Reliability, Availability, Maintainability and Safety (RRAMS) yang turut disokong oleh dua pusat penyelidikan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pusat penyelidikan MiTRANS UiTM dan Advanced Fluid Focus Group (AFG) UMP akan terlibat secara bersama dalam mencapai objektif utama penubuhan konsortium ini. Hasil dapatan utama kajian adalah berbentuk model pengurusan RAMS serta polisi bagi membantu pembuatan keputusan pihak kerajaan yang terlibat secara langsung dalam memantau pembangunan dan perancangan sektor pengangkutan rel di Malaysia.

Sejajar dengan tujahan utama UTHM dalam penyelidikan berteraskan Sustainability and Transportation, penubuhan kumpulan penyelidik ini diharap dapat menjadi rujukan utama pihak industri khususnya bidang RAMS rel yang masih lagi kurang diterokai.

Usaha ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negara ini terhadap kepakaran luar sekali gus sebagai aspirasi untuk membangunkan keberhasilan tenaga pakar dan sumber manusia dalam bidang rel.

Aktif dalam perundingan projek rel

Nor Aziati, 41 merupakan seorang pakar dalam bidang system assurance dan pengurusan maklumat organisasi dan kini bergiat aktif sebagai perunding projek rel di Malaysia.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sistem Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini pernah terlibat dalam penyelidikan dan perundingan rel bermula dengan sangkutan profesional selama dua tahun bagi projek MRT2 di Sapura-EVD (pakej kontrak komunikasi dan rangkaian).

Di bawah inisiatif pemindahan pengetahuan Industrial Collaboration Programme (ICP) yang dikendalikan oleh Technology Depository Agency (TDA), anak kelahiran Johor Baharu ini terlibat secara langsung dengan RAMS bagi sistem komunikasi dan rangkaian MRT2.

“Melalui program ICP, saya telah menyertai program latihan pembangunan tenaga pakar yang melibatkan kejuruteraan rel berkelajuan tinggi (high speed rail) serta pengurusan operasi rel di China itu dengan kerjasama University of Beijing Jiaotong,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menyertai program-program latihan profesional berkaitan rel yang dikendalikan oleh syarikat seperti Bombadier, Prasarana dan Siemens dan turut mempunyai sijil kelayakan HRDF bagi membolehkan beliau melatih pelatih yang ingin terlibat dalam bidang RAMS.

“Bertitik tolak daripada projek tersebut, saya mengembangkan lagi karier dalam bidang RAMS rel bagi projek ETS Gemas-Johor Bahru yang sedang berjalan di bawah kendalian Kementerian Pengangkutan.

“Penglibatan saya sebagai perunding RAMS bagi Traction Power System (TPS) dan Power Supervisory control and data acquisition (SCADA) projek ETS Gemas-Johor ini melibatkan dua syarikat pembekal sistem elektirfikasi iaitu Prestigious Sdn. Bhd. Dan PESTECH Technology Sdn. Bhd.

“Lantikan sebagai ketua perunding kepada syarikat tersebut membolehkan pasukan kami mencapai jumlah perundingan projek melebihi RM300 ribu,” ujar beliau.

Projek perundingan yang dijalankan melalui Pusat Inovasi dan Pengkormersilan (ICC) UTHM ini bukan hanya mampu mempromosikan kepakaran ahli penyelidik malah dapat menghasilkan tenaga kerja dalam bidang yang khusus berkaitan rel.

Selain terlibat secara aktif dalam projek rel di Malaysia, Nor Aziati selaku ketua turut menerima dua geran penyelidikan sepadan hasil kerjasama antara UTHM dan KTMB berjumlah kira-kira RM 118 ribu. Kajian yang berbentuk cross-disciplinary ini merupakan kesinambungan kepada geran dalaman Multi-Disciplinary Research Grant (MDR) berjumlah RM65 ribu yang telah diperoleh dari pihak UTHM bagi pembangunan penyelidikan rel.

Selain aktif menerbitkan artikel ilmiah, beliau turut dilantik sebagai penyedia latihan kepada pihak industri khususnya melibatkan bidang RAMS. Beliau bersama kumpulan perundingnya sedang giat membangunkan modul latihan RAMS di samping merakamkan pengalaman mengendalikan projek rel di Malaysia yang boleh digunakan di masa akan datang.

Nor Aziati juga turut dilantik sebagai editorial board serta penilai jurnal bagi beberapa jurnal di peringkat antarabangsa dan kebangsaan di samping undangan sebagai pengucaptama dan penceramah jemputan dalam persidangan dan webinar.

Berpegang kepada prinsip tiada jalan mudah untuk berjaya, beliau berpendapat setiap usaha kecil yang dilakukan secara individu ataupun berpasukan akan memberi kejayaan pada masa akan datang khususnya apabila ingin mendapatkan kepercayaan serta memperluaskan jaringan bersama pihak industri di kala berhadapan dengan ekonomi yang serba mencabar.