Pembelajaran tanpa sempadan: FAST kongsi kepakaran bersama Politeknik Ningbo, China

Oleh Furzani Pa’ee, Siti Fatimah Sabran, Arney Sapaat BATU PAHAT – Bagi mengukuhkan budaya pembelajaran tanpa sempadan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti...

Oleh Furzani Pa’ee, Siti Fatimah Sabran, Arney Sapaat

BATU PAHAT – Bagi mengukuhkan budaya pembelajaran tanpa sempadan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan dalam Program Virtual Mobility secara outbound bertempat di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), kampus induk.

Program yang telah dijalankan selama empat minggu berturut-turut bermula pada 27 November 2020 itu telah disertai oleh 30 pelajar Politeknik Ningbo, di bawah kendalian tiga pensyarah FAST yang mempunyai kepakaran dalam bidang herba dan pemuliharaan biodiversiti.

Bertemakan Herbs and People: Traditional Knowledge in the Modern World, para pelajar Politeknik Ningbo telah didedahkan mengenai suku kaum rakyat Malaysia serta tanaman herba yang biasa dijumpai di negara ini dan kegunaannya, melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman secara dalam talian.

Dr. Siti Fatimah Sabran berkongsi tentang kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat Malaysia dan kekayaan sumber semula jadi, khususnya tumbuh-tumbuhan ubatan yang menjadi sumber utama amalan pengetahuan tradisi di Malaysia.

Penerangan terhadap keunikan, potensi dan kepentingan tumbuhan ubatan tersebut dengan amalan harian masyarakat di Malaysia telah berjaya menarik minat para pelajar tersebut sepanjang sesi perkongsian.

Manakala, Dr Arney Sapaat pula berkongsi mengenai isu-isu global dalam pemuliharaan tumbuhan herba merangkumi ancaman, permasalahan dan juga kaedah penyelesaian dalam memelihara dan memulihara tanaman herba. Melalui sesi ini mereka dapat mendalami konsep pemuliharaan alam sekitar dan lebih menghargai tanaman-tanaman herba di sekeliling mereka.

Sementara itu, Dr. Furzani Pa’ee menyampaikan perkongsian beliau mengenai kegunaan herba-herba yang terdapat di Malaysia seperti ubat-ubatan, makanan dan pewarna semula jadi.

Dalam sesi tersebut juga ada membincangkan beberapa tumbuhan di Malaysia yang sangat berpotensi untuk dikaji dengan lebih lanjut bagi mencari rawatan kepada SARS-CoV-2 iaitu virus yang bertanggungjawab ke atas penularan pandemik Covid-19.

Bagi memeriahkan lagi sesi tersebut, Dr. Furzani telah mengadakan beberapa aktiviti secara dalam talian bersama pelajar dengan menggunakan platform Mentimeter, Kahoot! dan juga Padlet. Para peserta dibawa mengembara secara maya ke taman herba di rumah salah seorang tenaga pengajar iaitu Dr. Arney.

“Pengembaraan virtual ini dapat memperkenalkan tanaman-tanaman herba yang biasa digunakan oleh rakyat Malaysia seperti kunyit, cekur, daun kesum, daun pudina, daun tunjuk langit, misai kucing, sirih, serai dan juga pokok mulberi.

“Aktiviti ini dapat menggalakkan pelajar untuk menanam tanaman herba mereka sendiri untuk meningkatkan daya fokus sewaktu belajar seperti herba lavender dan juga pudina,” katanya.

Tambahnya penganjuran program seumpama ini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Berdasarkan penglibatan dan maklum balas yang diterima daripada para peserta, mereka menzahirkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program ini yang dapat menambahkan pengetahuan mereka mengenai Malaysia dan tanaman herba di negara ini,” katanya.

 

Categories
Sains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE