FAST UTHM libatkan penyertaan industri dalam pengajian jarak jauh

Oleh Hamizah Mohd Safuan, Norhaidah Asrah Kehadiran pandemik Covid-19 telah merubah landskap pendidikan global dalam penyampaian pembelajaran dan pengajaran (PdP) baik di peringkat awal kanak-kanak, sekolah mahupun institut pengajian...

Oleh Hamizah Mohd Safuan, Norhaidah Asrah

Kehadiran pandemik Covid-19 telah merubah landskap pendidikan global dalam penyampaian pembelajaran dan pengajaran (PdP) baik di peringkat awal kanak-kanak, sekolah mahupun institut pengajian tinggi.

Bagi membantu negara mencegah penularan wabak tersebut, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut mengadakan pengajian jarak jauh (PJJ) seawal Mac 2020 selepas Kerajaan Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Universiti, staf akademik dan pelajarnya dituntut untuk lebih pantas dalam mengadaptasi dan membiasakan diri dengan situasi luar jangka begini agar penyampaian PdP terus berjalan tanpa terjejas.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM Dr. Hamizah Mohd Safuan kuliah, tutorial dan amali harus disampaikan dengan kaedah alternatif selain daripada kaedah bersemuka dan konvensional.

“Staf akademik perlu kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pembelajaran secara dalam talian atau e-pembelajaran kerana ia merupakan pilihan terbaik dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Justeru itu FAST mengambil inisiatif drastik dengan melibatkan wakil-wakil industri dalam aktiviti PdP secara dalam talian demi menjamin kelangsungan kandungan akademik yang selaras dengan keperluan industri,” katanya.

Antara wakil industri yang terlibat dalam PdP ialah Roslinda Abu Bakar-Kellsey dari The Center of Applied Data Science, Wan Zawawi Md Zin dari Malaysia’s national applied research and development centre (MIMOS), Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri dari Jabatan Perangkaan Malaysia dan Hong Peck Keong dari S-QI.

Alumni yang sedang berkhidmat di industri juga turut dilibatkan dalam sesi perkongsian ilmiah ini iaitu Fatima Zayana Abd Rahman dari Malaysia Airlines Berhad dan Phang Hou Yee dari Maybank. Beberapa lagi sesi yang telah dijadualkan akan melibatkan individu seperti Profesor Dr. Razamin Ramli dari ARAR Services, Dr. Zamros Dzulkifli dari Maybank Investment Bank Berhad dan Siti Noratikah Kasmoi dari Talent Corporation Malaysia Berhad.

Menurut Dr. Hamizah, kesemua wakil industri yang terlibat itu mengambil sikap terbuka untuk berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman kepada pelajar melalui kuliah-kuliah akademik di fakulti ini.

Beliau menambah antara tajuk-tajuk menarik yang dibincangkan adalah seperti Drive Digital Transformation: Innovation for the New Normal, Significance of Data Science: Current and Near Future, Designing Data Structure: Good Manufacturing Practice in Food Industry serta pelbagai lagi topik menarik yang lain.

“Tentunya aktiviti sebegini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa agar kandungan dan program akademik di FAST khususnya dan di UTHM amnya terus relevan dengan arus perubahan dunia kini yang dinamik dan mencabar,” ujarnya.

Categories
Sains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE