Profesor Madya Dr. Aeslina Abdul dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara 30 penyelidik yang menerima pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2020 berdasarkan pencapaian cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Pengiktirafan yang mula dilancarkan pada tahun 2012 itu diberikan setiap tahun kepada penyelidik tempatan yang aktif menjalankan penyelidikan dalam bidang STI dan hasil kajian mereka mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dr. Aeslina merupakan seorang pakar dalam bidang kitar semula sisa, pengurusan sisa dan rawatan air sisa ke arah kelestarian.

Penyelidikan dan Sumbangan Kepada Umum

Menyingkap penglibatan dan sumbangannya, anak jati kelahiran Batu Pahat ini mula aktif dalam bidang penyelidikan ketika beliau melaksanakan projek mengitar semula puntung rokok sebagai bahan binaan semasa pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Australia. Hasil penyelidikannya yang berimpak tinggi itu telah dipaparkan dalam majalah The American Society of Civil Engineering Magazine.

Semangat untuk meneruskan usaha murni dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia mula membara setelah memikirkan walaupun sejumlah sampah yang kecil saiznya seperti puntung rokok sekalipun dapat menyumbang kepada berjuta tan bahan cemar berbahaya kepada dunia.

Perkara tersebut mendorong beliau untuk menawarkan alternatif lain yang lebih komprehensif serta mencadangkan jalan penyelesaian yang sesuai untuk menguruskan sampah secara efisien. Pada masa yang sama juga, beliau turut mengambil kira semua implikasi pencemaran alam sekitar yang mendukung ke arah pembangunan ekonomi pekeliling di dalam masyarakat (towards circular economy society.)

Penyelidikan beliau merangkumi pelbagai jenis sisa dan atas kapasiti kepakarannya itu, beliau telah dilantik sebagai pakar perunding untuk menjalani penyelidikan dan menyelesaikan isu pengurusan sisa di beberapa industri tempatan seperti Malaysia Mosaics, Taiko Premier Bleach, Bina Kuari dan Hap Seng Clay Products.

Selain itu, beliau juga terlibat sebagai salah seorang ahli panel dalam perbincangan pindaan Enakmen Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 pada tahun 2015, yang membantu dalam pembentukan garis panduan khusus untuk mengitar semula sisa menjadi bahan binaan di Malaysia. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia juga telah melantik beliau sebagai pakar penceramah sejak tahun 2014 untuk kursus sisa pepejal bagi semua pihak berkuasa berkaitan yang terlibat dalam pengurusan sisa di Malaysia.

Bukan itu sahaja, menyedari tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat, Dr. Aeslina juga telah mengkomersialkan inovasi teknologi kitar semula iaitu Smart Recycle Bin (SRB) hasil kerjasama dengan SWCorp untuk memudahkan proses kitar semula sampah dijalankan.

Teknologi tersebut merupakan produk alternatif untuk memperkasakan perilaku rakyat Malaysia dalam mengitar semula sampah melalui sistem ganjaran automatik untuk menggantikan sistem manual kitar semula sedia ada. Produk yang dikomersialkan ini telah mendapat maklum balas positif daripada pihak kerajaan, majlis perbandaran dan pihak industri mengenai fungsinya yang mampu meningkatkan peratusan kitar semula. Walau bagaimanapun, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dengan lebih lanjut untuk menjadikan produk tersebut lebih kompetitif di pasaran.

Dr. Aeslina juga memainkan peranan penting dalam program pemindahan ilmu pengkomposan sejak tahun 2013 lagi di bawah dua geran penyelidikan Program Pemindahan Ilmu (KTP) (2013 dan 2019) yang melibatkan hampir 50 sekolah di Malaysia.  Projek yang telah dilaksanakan juga telah diiktiraf sebagai program empat bintang daripada University to Society (U4S) pada tahun 2019 dan 2020. Rentetan itu, beliau bekerjasama dengan Institute for Global Environmental Strategies (IGES), Jepun untuk projek yang sama dan hasil kerjasama ini membolehkan beliau memperoleh geran antarabangsa daripada International Sumitomo Foundation Grant di Jepun.Projek ini juga telah diiktiraf sebagai program empat bintang daripada University to Society (U4S) pada tahun 2019 dan 2020.

Baru-baru ini beliau juga telah dilantik oleh National Institute for Environmental Studies (NIES) dan Mitsubishi UFJ Research and Consulting (MURC) Jepun sebagai ketua projek untuk mewakili Malaysia dalam projek Integrated Decentralized Domestic Wastewater Management di Asean yang turut melibatkan sembilan buah negara termasuk Malaysia, Kemboja, Brunei, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Melalui projek ini, beliau berpeluang untuk menghadiri latihan di Jepun untuk Capacity Building Training for Policy Dialogue and Network Building of Multi-Participant Stakeholders on Integrated Domestic Wastewater Management in Asean countries dan dijemput menghadiri Policy Dialogue and Network Building of Multi-stakeholders on Integrated Decentralized Domestic Wastewater Management in ASEAN countries di Indonesia pada bulan Januari dan September 2020 lalu.

Melalui projek ini juga, beliau berjaya menjalinkan hubungan baik dan kerjasama dengan Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi (JPS), Jabatan Pembetungan Perkhidmatan (JPP) di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) ke arah dasar yang lebih baik mengenai pengurusan air sisa di Malaysia.

Sebagai kesinambungan kepada projek ini, beliau telah dianugerahkan dengan satu lagi geran antarabangsa daripada International Sumitomo Foundation Grant dari Jepun. Oleh kerana beliau ingin memainkan peranan yang lebih penting bersama dengan universiti lain di Malaysia, beliau telah menjadi penggerak bersama dengan ahli fakulti untuk mengajukan permohonan bagi membolehkan FKAAB UTHM dilantik sebagai Penilai Pihak Ketiga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ikon Penyelidik UTHM

Untuk rekod, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Awam dari Universiti Royal Melbourne Institute of Technology, Melbourne, Australia ini adalah seorang Teknologis Profesional (Ts) dan panel bagi Majlis Akreditasi Teknologis dan Teknikal (TTAC) Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan ahli kepada Persatuan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA), Persatuan Air Antarabangsa (IWA), Persatuan Jurutera Antarabangsa (IAENG) dan juga ahli Institut Penyelidikan dan Penerbitan Kejuruteraan (IFERP).

Manakala di peringkat nasional pula, beliau turut bergiat dalam Persatuan Pengurusan Sisa dan Alam Sekitar Malaysia (MSWME), Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MySET), Persatuan Konkrit Malaysia (CSM) dan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia Masyarakat (MyRIS).

Di peringkat universiti, beliau merupakan Felo Penyelidik yang aktif di Pusat Penyelidikan Micropollutant (MPRC) dan Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Universiti Malaysia Perlis.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada, anak bongsu daripada tiga adik beradik ini telah menerbitkan lebih 100 penerbitan termasuk prosiding, jurnal, buku dan modul sebagai penulis utama dan penulis bersama dengan H-index 13. Sehingga kini, beliau bertindak sebagai ketua penyelidik untuk memperoleh geran penyelidikan yang bernilai hampir RM2 juta dan mengetuai sesi konsultasi bernilai lebih dari RM 300 ribu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dr. Aeslina bersama pasukan penyelidiknya juga telah memenangi sehingga 45 pingat (pingat khas, emas, perak dan gangsa) untuk pertandingan produk inovatif yang berjaya mendapatkan tiga paten dan 11 hak cipta. Beliau turut bergiat aktif sebagai ucaptama dan penceramah jemputan dalam 34 persidangan, forum dan seminar antarabangsa.

Perkara yang amat membanggakan sepanjang kariernya adalah beliau pernah menerima 13 anugerah daripada UTHM antaranya Anugerah Staf Cemerlang, Anugerah Penulisan Cemerlang, Pegawai Perhubungan Industri Cemerlang dan Anugerah Ikon Penyelidikan pada tahun 2019.

Semua kerja-kerja penyelidikan dan sumbangan profesional yang dilakukan oleh beliau adalah hasil daripada kerja kerasnya untuk menghubungkan titik-titik penyelesaian bagi masalah pencemaran yang kian berleluasa agar dapat membantu ke arah pembentukan masyarakat yang lebih lestari.