BATU PAHAT – Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah sekali lagi apabila berjaya meraih anugerah EMAS di Anugerah Seni MAKUM 2019 bagi kategori Anugerah Gambang Mustika.

Sebanyak 20 universiti awam (UA) telah bersaing sengit di majlis yang berlangsung secara dalam talian pada 30 Disember 2020.Kelab Warisan UTHM bersama penasihatnya, Encik Rosdi Abdullah sebelum ini telah melakar beberapa siri kejayaan di peringkat UA, negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa pada tahun lalu sekali gus melayakkan kelab ini dinobatkan sebagai penerima anugerah EMAS.

Pengerusi Kelab Warisan 2019, Muhammad Naqib Hafiq Mustafar juga turut menerima Anugerah Perak untuk kategori Bonang Emas Lelaki, manakala Timbalan Pengerusi Kelab Warisan 2019, Siti Nur Asyiqin Abd Karim juga menerima Anugerah Perak untuk kategori Anugerah Bonang Emas Wanita. Sementara itu, Kumpulan Kebudayaan UTHM pula berjaya merangkul anugerah Gong Kencana Perak.

Walaupun UTHM merupakan sebuah universiti teknikal dan tiada jurusan seni yang ditawarkan, namun pada tahun ini UTHM diberi penghormatan menjadi tuan rumah untuk penganjuran Majlis Anugerah Seni MAKUM 2019.

Majlis anugerah ini disempurnakan oleh Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak,Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPPT, Jabatan Pengajian Tinggi.

Untuk rekod, Anugerah Seni MAKUM adalah satu majlis untuk mengiktiraf dan menghargai usaha dan kejayaan semua UA di Malaysia dalam bidang kebudayaan dan kesenian.