BATU PAHAT – Kehadiran pandemik Covid-19 yang memaksa masyarakat hidup dalam norma baharu tidak menghalang pelajar-pelajar Kursus Umrah dan Haji seksyen 1 (UQD10301), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk meneruskan penganjuran Kursus Umrah dan Haji secara maya (Webinar) pada 2 Januari 2020 lalu.

Kursus yang melibatkan penyertaan 110 pelajar daripada sekolah-sekolah terpilih dari seluruh Malaysia ini dianjurkan secara maya menggunakan aplikasi “Google Meet.”

Menurut salah seorang pelajar kursus tersebut, Madihah Alazemi program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih jelas tentang ibadah Haji dan Umrah kepada para peserta yang terdiri daripada pelajar SMKA Tun Said, SMK Taman Daya 2, SMK Dato’ Harun, SMK Seri Perak, SMK Seri Lalang dan Kolej Datu Patinggi.

“Program yang disempurnakan oleh Pengurus Tabung Haji Cawangan Parit Raja, Batu Pahat, Tuan Haji Jamal Ali ini juga bertujuan untuk memberi suntikan dan galakan kepada para peserta untuk menunaikan ibadah haji dan umrah,” katanya.

Ustazah Zanariah Buang dari School Improvement Specialist Coaches dan Haji Zainuddin Mohd. Noh, Presiden Akrab UTHM merangkap Ahli Akrab Pakar telah diundang sebagai penceramah bagi mengupas  lebih lanjut berkaitan dengan tajuk perbincangan.

Tambah Madihah, program ini diisi dengan dua sesi ceramah iaitu “Adakah Kita Tetamu Allah” yang dijayakan oleh Haji Zainuddin manakala satu lagi bertajuk “Keistimewaan Wanita” oleh Ustazah Zanariah.

Dalam kursus tersebut para peserta turut diberi pendedahan lengkap berkaitan umrah dan haji termasuk jenis-jenisnya dan siapa yang dituntut untuk menunaikan ibadah tersebut.

“Pihak kami mendapat maklum balas yang sangat positif daripada para peserta dan berharap usaha ini dapat menjadi titik permulaan untuk meningkatkan keazaman para peserta bagi melaksanakan ibadah haji dan umrah di usia muda,” ujarnya.