BATU PAHAT – Biro Kebudayaan Mahasiswa India (BKMI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan forum yang bertajuk “Route After Your 1st Degree” pada 15 September lalu secara dalam talian bagi membantu graduan universiti ini menyediakan diri menghadapi pasaran kerja.

Menurut Penasihat BKMI, Ts. Dr. Tamil Selvan Subramaniam program ini dianjurkan dengan tiga objektif utama iaitu bagi membincangkan laluan kerjaya mahasiswa selepas tamat pengajian, bagaimana untuk meningkatkan kebolehpasaran “(Graduate Employability)” graduan dengan membincang trend dan keperluan semasa alam pekerjaan dan bagi menjalinkan hubungan yang baik bersama alumni universiti.

Forum yang disertai oleh 72 pelajar dari UTHM, Universiti Malaya (UM) dan Crescendo International College ini dikendalikan oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Shagiilenn Krisna Arul Jothy sebagai moderator.

Lima orang panel telah dijemput untuk membincangkan topik-topik berkaitan iaitu Dr. S.Kanna Subramaniyan, pensyarah UTHM; Ts Nagentrau Muniand, pensyarah University of Wollonggong Malaysia KDU; Parthipan Periasamy, Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Sri Purusothman Arvindharanchettiar @ Arvind, Jurutera Pemastautin (Terowong) di Singapura. Keempat-empat mereka ini merupakan alumni UTHM, manakala seorang lagi panel Sathish Kumar Batumelai, Pengarah Jualan di sebuah syarikat multinasional pula merupakan alumni UM. Perbincangan mereka juga banyak menekankan kompetensi pelajar yang diambil kira oleh industri pada masa kini dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif.

“Banyak manfaat yang diperoleh peserta yang menyertai forum ini antaranya pendedahan berkaitan gambaran sebenar alam pekerjaan yang dapat membantu mereka menyediakan diri selaras dengan kehendak industri.

“Program seumpama ini akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa yang mana akan melibatkan alumni UTHM untuk bersama-sama membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan,” katanya.